Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/10/04 08 Jul 2010 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 08 Julai 2010

Pada mesyuaratnya hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Kadar terendah dan tertinggi koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 3.00 peratus.

Ekonomi global terus mencatat pemulihan pada suku kedua, disokong oleh pertumbuhan yang teguh dan menyeluruh dalam kebanyakan ekonomi yang sedang pesat membangun, khususnya di Asia, dan pemulihan yang sederhana dalam ekonomi-ekonomi maju. Walau bagaimanapun, ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa telah meningkat berikutan kebimbangan terhadap krisis hutang Kerajaan yang berterusan dalam beberapa ekonomi maju. Perkembangan ini telah meningkatkan ketidakpastian mengenai kesan yang mungkin timbul pada sistem kewangan antarabangsa dan aktiviti ekonomi global. Melangkah ke hadapan, meskipun penilaian yang dibuat menunjukkan pemulihan global akan berterusan, namun, terdapat peningkatan risiko bahawa momentum pertumbuhan global mungkin menjadi sederhana.

Bagi ekonomi dalam negeri, trend terkini dalam pengeluaran perindustrian, kegiatan pembiayaan, keadaan pasaran pekerja dan perdagangan luar menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi terus kukuh pada suku kedua. Melangkah ke hadapan, meskipun perkembangan di luar negeri mungkin menyebabkan kadar pertumbuhan menjadi sederhana sedikit, namun ekonomi dalam negeri dijangka kekal kukuh dengan penggunaan dan pelaburan swasta yang terus bertambah baik, serta disokong oleh perbelanjaan pelaburan awam.

Inflasi dalam negeri meningkat sedikit pada bulan April dan Mei disebabkan terutamanya oleh faktor-faktor penawaran. Paras harga dijangka meningkat secara beransur-ansur pada bulan-bulan hadapan, sejajar dengan keadaan ekonomi dalam negeri yang terus bertambah baik, serta mengambil kira pelarasan yang mungkin dibuat terhadap harga ditadbir. Walau bagaimanapun, inflasi secara keseluruhan dijangka kekal sederhana hingga tahun 2011.

MPC berpendapat bahawa paras baharu OPR ini adalah wajar dan konsisten dengan penilaian terkini prospek pertumbuhan dan inflasi. Pendirian dasar monetari akan terus akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia
08 Jul 2010

© Bank Negara Malaysia, 2010. All rights reserved.