Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 05/10/06 13 May 2010 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 13 Mei 2010

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia mengambil keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus. Berikutan itu, kadar terendah dan tertinggi koridor OPR masing-masing dinaikkan kepada 2.25 peratus dan 2.75 peratus.
 

Ekonomi global mencatat pemulihan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama, didorong oleh prestasi pertumbuhan yang menggalakkan dalam ekonomi sedang pesat membangun dan beberapa ekonomi maju. Inisiatif dasar dan keadaan kewangan yang lebih baik terus menyokong pemulihan ekonomi di banyak negara. Meskipun aktiviti ekonomi negara maju pada amnya telah bertambah baik, pertumbuhan dalam ekonomi tersebut dijangka terus sederhana. Keadaan ketidakpastian masih ketara berpunca daripada kebimbangan yang meningkat terhadap masalah hutang kerajaan di Eropah dan jangkaan bahawa kesan daripada sokongan langkah dasar fiskal semakin berkurang. Pertumbuhan dalam ekonomi sedang pesat membangun, khususnya Asia, dijangka lebih kukuh kerana disokong oleh permintaan dalam negeri yang memberangsangkan dan perdagangan dalam rantau yang meningkat.
 

Bagi ekonomi dalam negeri, pertumbuhan yang kukuh dan menyeluruh sebanyak 10.1% pada suku pertama membuktikan bahawa pemulihan ekonomi ternyata mapan. Melangkah ke hadapan, pertumbuhan akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan permintaan luar negeri yang bertambah baik, terutamanya dari rantau ini. Meskipun potensi pertumbuhan diunjurkan terus meningkat, wujud ketidakpastian berikutan perkembangan yang berlaku dalam persekitaran kewangan dan ekonomi antarabangsa baru-baru ini.
 

Inflasi dalam negeri meningkat sedikit pada suku pertama dan akan terus mencatat kenaikan yang beransur-ansur sepanjang tahun ini. Ini sejajar dengan aktiviti ekonomi yang lebih giat dan menyeluruh serta mengambil kira pelarasan yang mungkin dibuat terhadap harga ditadbir. Walaupun faktor-faktor luaran, termasuk harga komoditi dan bahan makanan dunia yang lebih tinggi mungkin memberikan tekanan terhadap harga dalam negeri, inflasi keseluruhan dijangka terus sederhana pada tahun 2010.
 

MPC mengambil keputusan untuk menyelaraskan OPR bagi mengembalikan keadaan monetari kepada kedudukan yang lebih wajar. Pada paras OPR yang baharu ini, pendirian dasar monetari akan kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia
13 May 2010

© Bank Negara Malaysia, 2010. All rights reserved.