Cetak       Kongsi


Keperluan Pengisytiharan Mata Wang yang Baharu di Kesemua Pintu Masuk dan Keluar Malaysia

No Ruj : 12/09/07 23 Dec 2009 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Selaras dengan usaha global untuk mencegah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, berkuat kuasa 1 Januari 2010, pengembara yang memasuki atau meninggalkan Malaysia dengan membawa wang tunai dan/atau instrumen pembawa boleh niaga (contohnya cek kembara, cek pembawa) melebihi nilai bersamaan dengan USD10,000 dimestikan membuat pengisytiharan dalam borang Kastam No. 22 . Borang Kastam No. 22 disediakan di kaunter-kaunter sebelum tempat pemeriksaan Kastam di kesemua pintu masuk dan keluar Malaysia.

Pengisytiharan ini tertakluk di bawah seksyen 23 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan selaras dengan Cadangan Khas IX oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan yang menghendaki negara-negara mewujudkan langkah-langkah untuk mengesan pemindahan wang tunai dan instrumen pembawa boleh niaga merentas sempadan secara fizikal. Pengembara boleh didenda sehingga RM1 juta dan/atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun sekiranya gagal membuat pengisytiharan atau membuat pengisytiharan palsu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Bank Negara Malaysia di pusat perhubungan berikut:

Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Cawangan Perhubungan Awam
Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Tel: 1-800-88-8855/+6 03-8882 4803/+6 03-8882 2929 atau
E-mel: kastam: kastam@customs.gov.my/aduan@customs.gov.my
Laman Sesawang: http://www.customs.gov.my

Bank Negara Malaysia

BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465 atau
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
Laman Sesawang: http://www.bnm.gov.my

Lihat Juga: Maklumat lanjut mengenai Keperluan Pengisytiharan Mata Wang yang Baharu


Bank Negara Malaysia
23 Disember 2009



Nota Tambahan untuk Media: 
  1. Menteri Kewangan telah meluluskan penggunaan seksyen 23 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) berkuat kuasa 1Januari 2010.
  2. Keperluan baharu ini selaras dengan usaha global untuk mencegah aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Negara-negara seperti Kanada , United Kingdom, Australia, New Zealand, Jepun, Filipina dan Singapura telah menerima pakai keperluan pengisytiharan yang sama untuk pemindahan wang tunai dan instrumen pembawa boleh niaga secara fizikal .
  3. Kastam Diraja Malaysia merupakan pihak berkuasa kompeten yang bertanggungjawab menguatkuasakan keperluan baharu ini. Perbandingan keperluan pengisytiharan mata wang mengikut negeri adalah seperti yang berikut:

  Negara

  Pihak Berkuasa yang Berkaitan

  Tarikh Kuat Kuasa

Amaun
(atau bersamaan dengan mata wang asing)

Singapura

Singapore Police Force

1 November 2007

S$30,000 atau lebih

Filipina

Central Bank of Philippines

11 Februari 2006

US$10,000 atau lebih

Jepun

Japan Customs

1 Jun 2008

1 juta yen atau lebih

New Zealand

New Zealand Customs

11 Februari 2006

NZ$10,000 atau lebih

Australia

Australian Transaction Reports and Analysis Centre (AUSTRAC) and Australian Customs (for currency declaration)

13 Disember 2006

AUD$10,000 atau lebih

United Kingdom

HM Revenue and Customs

15 Jun 2007

10,000 euro atau lebih

Kanada

Canada Border Services Agency

6 Januari 2003

Can$10,000

Nota: Wang tunai termasuk mata wang kertas, duit syiling, draf bank, cek dan sebarang jenis cek kembara, kecuali untuk New Zealand, yang mendefinisikan wang tunai sebagai duit syiling atau wang kertas New Zealand atau negara asing.

Bank Negara Malaysia
23 Dec 2009

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.