Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 10/09/09 28 Oct 2009 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Rabu 28 Oktober 2009
Pada mesyuaratnya hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.00 peratus.

Sejak mesyuarat MPC pada bulan Ogos, keadaan ekonomi dan kewangan antarabangsa terus bertambah baik. Aktiviti ekonomi dalam beberapa negara maju telah memperlihatkan tanda-tanda penstabilan yang lebih meluas, disokong oleh kesan daripada langkah dasar yang dilaksanakan dan peningkatan sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan. Beberapa ekonomi serantau telah mencatat pertumbuhan positif pada suku ketiga, menunjukkan pemulihan yang berterusan di rantau ini. Meskipun terdapat tanda-tanda yang positif, prospek ekonomi global terus tidak menentu. Pemulihan dijangka perlahan dan tidak seimbang berikutan pelarasan yang sedang berlaku.

Dalam ekonomi dalam negeri, terdapat penunjuk yang lebih kukuh yang menunjukkan keadaan bertambah baik dan pemulihan aktiviti ekonomi semakin menggalakkan. Pengukuhan ini lebih menyeluruh dan dicerminkan oleh keadaan pasaran pekerja, sentimen pengguna dan perniagaan, pengeluaran perindustrian, aktiviti pembiayaan dan perdagangan luar negeri yang lebih memuaskan. Perkembangan positif ini dijangka berterusan hingga tahun 2010, dengan pertumbuhan ekonomi dalam negeri dijangka terus disokong oleh langkah dasar semasa dan keyakinan yang makin meningkat dalam sektor swasta.

Harga pengguna menurun pada kadar yang lebih perlahan pada bulan September. Penurunan itu mencerminkan terutamanya penurunan kumulatif harga bahan api semenjak bulan Jun 2008 dan tekanan terhadap harga makanan yang lebih perlahan. Walau bagaimanapun, penurunan harga pengguna ini dijangka hanya sementara. Tidak termasuk pelarasan harga yang tidak dijangka dan pengaruh luaran, kadar inflasi pada tahun 2010 diramalkan positif tetapi pada paras yang rendah.

Dengan keadaan ekonomi dalam negeri yang semakin pulih dan tekanan harga serta jangkaan inflasi yang akan terus dibendung pada masa hadapan, penilaian yang dibuat menunjukkan pendirian dasar monetari semasa adalah wajar dan akan terus menyokong aktiviti ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia
28 Oct 2009

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.