Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 08/09/07 25 Aug 2009 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Selasa 25 Ogos 2009

Pada mesyuaratnya hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.00 peratus.

Sejak mesyuarat MPC bulan Julai lalu, terdapat lebih banyak tanda-tanda bahawa keadaan ekonomi dan kewangan global bertambah baik. Aktiviti ekonomi dalam beberapa negara maju dan serantau mulai pulih secara beransur-ansur berikutan pelaksanaan langkah-langkah fiskal dan monetari yang nyata. Walau bagaimanapun, proses pemulihan ekonomi dijangka mengambil masa memandangkan beberapa ekonomi tersebut sedang melalui pelarasan struktur seterusnya. 

Dalam ekonomi dalam negeri, penunjuk kewangan dan ekonomi terkini, termasuk pengeluaran perindustrian, trend pembiayaan, sentimen pengguna dan perniagaan, dan pemberhentian pekerja, mengesahkan penilaian bahawa keadaan ekonomi semakin stabil. Melangkah ke hadapan, ekonomi dalam negeri dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun 2009 hingga ke tahun 2010, susulan pemulihan permintaan dalam negeri dalam persekitaran ekonomi global yang semakin stabil.

Inflasi terus menurun pada bulan Julai. Seperti pada bulan sebelumnya, penurunan inflasi sebahagian besarnya mencerminkan penurunan kumulatif harga bahan api sejak bulan Jun 2008, dan tekanan terhadap harga makanan yang semakin sederhana. Inflasi yang negatif ini dijangka bersifat sementara dan diunjurkan kembali positif apabila keadaan dalam negeri bertambah kukuh.

Dengan keadaan ekonomi dalam negeri yang semakin pulih dan tekanan harga dijangka terus sederhana pada masa hadapan, penilaian yang dibuat menunjukkan pendirian dasar monetari semasa adalah wajar dan akan terus menyokong aktiviti ekonomi negara.


Bank Negara Malaysia
25 Aug 2009

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.