Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/09/11 29 Jul 2009 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1900 pada hari Rabu 29 Julai 2009

Pada mesyuaratnya hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.00 peratus.

Sejak mesyuarat MPC yang lalu, ekonomi global telah menunjukkan tanda-tanda penstabilan dan keadaan dalam pasaran kewangan antarabangsa pada amnya bertambah baik. Sungguhpun keadaan ekonomi di negara maju masih lagi lembap, kadar kemerosotan aktiviti ekonomi semakin perlahan. Tanda-tanda juga menunjukkan aktiviti ekonomi di kebanyakan ekonomi serantau bertambah baik. Langkah-langkah untuk menstabilkan sistem kewangan di negara maju dan kesan terkumpul rangsangan fiskal dan monetari terus menyumbang kepada peningkatan secara beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi di kebanyakan negara.

Tanda-tanda penstabilan juga telah ditunjukkan oleh keadaan ekonomi dalam negeri pada suku kedua, dengan beberapa penunjuk seperti indeks pengeluaran perindustrian dan pemberhentian pekerja telah mencatat penurunan yang lebih perlahan. Pada masa hadapan, keadaan pasaran pekerja dan sentimen perniagaan dan pengguna yang lebih baik akan menyokong permintaan dalam negeri. Selain itu, pelaksanaan rangsangan fiskal yang lebih pesat, akses kepada pembiayaan yang berterusan dan kadar inflasi yang lebih rendah juga akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi dalam negeri pada separuh kedua tahun 2009 dan hingga ke tahun 2010.

Seperti yang dijangkakan, inflasi terus menjadi sederhana dan bertukar menjadi negatif pada bulan Jun. Penurunan inflasi sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan statistik yang mencerminkan kenaikan inflasi yang ketara pada bulan Jun 2008, apabila harga bahan api meningkat berikutan pengurangan dalam subsidi bahan api. Inflasi yang negatif dijangka hanya untuk sementara waktu dan akan bertukar menjadi positif apabila keadaan ekonomi dalam negeri bertambah baik.

Berdasarkan penilaian yang dibuat, dengan kadar faedah semasa yang rendah dan rangsangan fiskal yang mula memberikan kesan, langkah-langkah dasar yang sedang dilaksanakan adalah memadai untuk memberikan sokongan kepada aktiviti ekonomi.

Bank Negara Malaysia
29 Jul 2009

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.