Cetak       Kongsi


Permulaan Operasi Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat

No Ruj : 23 Jul 2009 Embargo : Untuk Siaran Segera    

KUALA LUMPUR -Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (Corporate Debt Restructuring Committee, CDRC) telah ditubuhkan untuk menjadi forum sukarela bagi penyelesaian masalah hutang syarikat-syarikat besar. Selaras dengan permulaan operasinya hari ini, CDRC mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa dan juga kriteria kelayakan kes pengurusan hutang di bawah CDRC. Kenyataan berikut telah disiarkan:

Sebagai langkah awalan, Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (Corporate Debt Restructuring Committee, CDRC) telah mula beroperasi untuk menyediakan saluran di luar mahkamah bagi penyelesaian sewajarnya hutang peminjam korporat dan pemiutangnya. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan syarikat yang menghadapi masalah hutang mempunyai saluran yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Syarikat-syarikat yang terjejas oleh krisis ekonomi semasa dan menghadapi kesulitan untuk memenuhi obligasi hutang boleh mendapatkan bantuan daripada CDRC secara sukarela. Peranan utama CDRC adalah sebagai pengantara bagi membantu peminjam dan pemiutang merumuskan penyusunan semula hutang dengan sewajarnya.

Proses yang akan dilaksanakan oleh CDRC akan berdasarkan Tatakelakuan (Code of Conduct) yang menyatakan tatacara yang perlu dipatuhi oleh semua pihak dan rangka kerja untuk membentuk skim penyusunan semula hutang yang sewajarnya. Tatakelakuan ini telah diedarkan kepada semua institusi kewangan bagi mendapatkan maklum balas, dan ia dijangka dimuktamadkan minggu hadapan.

CDRC yang mula ditubuhkan semasa krisis kewangan pada tahun 1998 telah berjaya menyelesaikan 57 kes dengan jumlah hutang terkumpul sebanyak RM45.8 bilion. Ini telah membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara.

Dengan bermulanya operasi CDRC, peminjam korporat yang menghadapi masalah hutang kini mempunyai saluran alternatif untuk menyelesaikan obligasi hutang dengan pemiutangnya secara lebih berkesan dan cekap. Matlamat CDRC adalah untuk memastikan kegiatan ekonomi berterusan dan guna tenaga tidak terjejas dengan mempercepat proses penyusunan semula hutang bagi perniagaan yang berdaya maju.

Ahli CDRC

Bank Negara Malaysia telah melantik ahli jawatankuasa CDRC yang berikut:

  1. Y Bhg Dato' Sri Abdul Hamidy Abdul Hafiz (Pengerusi)
  2. Y Bhg Dato' Mohammed Hussein
  3. Y Bhg Dato' Muhammad bin Ibrahim
  4. Y Bhg Datuk Ranjit Ajit Singh
  5. En. Abdul Kadir Kassim
  6. En. Ahmad Badri bin Mohd Zahir
  7. En. Nik Mohd Hasyudeen Yusoff
  8. En. Philip Tan Puay Koon

Kriteria Permohonan

Syarikat-syarikat yang ingin memohon untuk menyelesaikan obligasi hutang melalui CDRC perlu memenuhi kriteria berikut:

  • Obligasi hutang sekurang-kurangnya RM100 juta,
  • Sekurang-kurangnya 3 pemiutang kewangan (bank-bank atau Sekuriti Hutang Swasta),
  • Tidak berada dalam status penerimaan atau pembubaran (receivership or liquidation).

CDRC akan mempertimbangkan untuk menerima atau menolak permohonan bagi kes-kes yang tidak memenuhi mana-mana kriteria kelayakan di atas.

Untuk keterangan lanjut mengenai CDRC, sila hubungi En. Chan Huan Kiong atau Pn. Norbaizurah Abdul Jabar di 03-20359667 atau melalui e-mel di enquiries@cdrc-my.org

Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat
23 Julai 2009

 

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.