Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 04/09/12 29 Apr 2009 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1830 pada hari Rabu 29 April 2009
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.00 peratus.

Keadaan ekonomi global bertambah buruk pada suku pertama tahun 2009, manakala keadaan sistem kewangan antarabangsa masih belum kembali normal. Walaupun terdapat tanda-tanda awal kadar penurunan yang lebih perlahan dalam beberapa penunjuk ekonomi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ekonomi negara-negara maju utama masih mengalami penguncupan ekonomi yang makin mendalam. Negara serantau juga mencatat penurunan pertumbuhan ekonomi yang ketara pada suku pertama. Meskipun prospek ekonomi dalam jangka terdekat akan terus lemah, pelaksanaan langkah-langkah rangsangan yang besar oleh beberapa negara telah meningkatkan prospek untuk keadaan ekonomi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini. Kemajuan berterusan dalam penyelesaian sektor kewangan telah dicapai dalam beberapa ekonomi maju utama. Kejayaan penyelesaian ini merupakan prasyarat penting untuk keadaan ekonomi dan kewangan kembali stabil.

Perkembangan global yang sangat buruk telah menyebabkan kemerosotan yang ketara dalam eksport dan pengeluaran perindustrian Malaysia, yang seterusnya memberikan kesan kepada aktiviti sektor swasta dan keadaan pasaran pekerja. Oleh itu, ekonomi dijangka mencatat penguncupan yang nyata pada suku pertama tahun 2009 dan keadaan ini dijangka berterusan pada suku kedua tahun ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanda penyederhanaan dalam tahap kemerosotan aktiviti ekonomi. Penilaian semasa menunjukkan bahawa ekonomi dalam negeri akan lebih baik pada separuh kedua tahun 2009, disokong oleh penstabilan dalam keadaan ekonomi global dan dorongan yang lebih besar daripada pelaksanaan langkah-langkah rangsangan fiskal.

Sementara itu, inflasi menurun kepada 3.5 peratus pada bulan Mac, dan dijangka terus menurun dalam keadaan permintaan yang lemah dan tekanan harga luaran yang lebih rendah.

Melangkah ke hadapan, pelaksanaan langkah-langkah rangsangan fiskal dan persekitaran monetari yang akomodatif berikutan pengurangan OPR sebelum ini akan menyokong aktiviti ekonomi dalam negeri. Sistem kewangan Malaysia terus kukuh dan proses penyampaian monetari berfungsi untuk memberikan kesan rangsangan dasar terhadap ekonomi. Pelaksanaan langkah-langkah fiskal yang lebih pesat akan meningkatkan prospek ekonomi Malaysia kembali mencatat pertumbuhan positif yang lebih awal. Penilaian semasa yang dibuat menunjukkan langkah-langkah dasar monetari secara keseluruhannya mencukupi untuk menyokong permintaan dalam negeri. Perhatian akan terus diberikan pada usaha memastikan aliran kredit yang mencukupi kepada semua segmen ekonomi. Di samping itu, akses kepada pasaran bon oleh sektor swasta akan terus dipertingkatkan dengan wujudnya Institusi Jaminan Kewangan. Mudah tunai dalam sistem kewangan terus mencukupi untuk menyokong permintaan terhadap pembiayaan oleh sektor swasta dan awam.

Bank Negara Malaysia akan memantau dengan rapi dan membuat penilaian terhadap perkembangan yang sentiasa berubah dalam menentukan dasar monetari dan kewangan pada masa hadapan.

Bank Negara Malaysia
29 Apr 2009

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.