Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 02/09/11 24 Feb 2009 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Selasa 24 Februari 2009

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus. Dengan keputusan ini, kadar tertinggi dan terendah koridor OPR masing-masing diturunkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus. Keperluan Rizab Berkanun juga diturunkan daripada 2 peratus kepada 1 peratus berkuat kuasa 1 Mac 2009 bertujuan untuk mengurangkan lagi kos pengantaraan.

Persekitaran ekonomi dan kewangan antarabangsa menjadi bertambah buruk pada suku tahun baru-baru ini. Ekonomi negara perindustrian utama sedang mengalami kemelesetan ekonomi yang semakin teruk, manakala pertumbuhan ekonomi negara serantau pula menjadi perlahan dengan ketara. Aktiviti perdagangan, pengeluaran dan pelaburan di rantau Asia telah terjejas dengan ketara akibat kemerosotan mendadak permintaan global. Kemelut pasaran kewangan antarabangsa juga semakin berlarutan. Walaupun banyak negara telah melaksanakan langkah-langkah rangsangan untuk menangani kelembapan ekonomi, hasil yang diharapkan masih belum dicapai. Risiko terhadap prospek ekonomi global yang lebih rendah juga semakin meningkat.

Ekonomi Malaysia telah terjejas dengan ketara oleh perkembangan global ini. Eksport dan pengeluaran perindustrian negara telah menguncup dengan nyata, sementara aktiviti pelaburan swasta menjadi semakin perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila perusahaan perniagaan bertindak untuk mengurangkan perbelanjaan mereka. Sentimen pengguna turut terjejas oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin lemah. Oleh itu, keadaan ekonomi dalam negeri dijangka terus mencabar dalam suku-suku yang akan datang atas sebab kemelesetan ekonomi global dijangka berlarutan. Sungguhpun perkembangan ini telah meningkatkan risiko kemerosotan ekonomi negara pada tahun ini, prospek pemulihan ekonomi kekal teguh apabila keadaan global menjadi stabil, memandangkan ekonomi negara tidak menanggung beban hutang yang tinggi, di samping mempunyai sistem kewangan yang kukuh dan kedudukan luaran yang memuaskan.

Dengan trend inflasi yang menurun, dasar makroekonomi akan dijuruskan ke arah menyokong permintaan dalam negeri sehingga ekonomi global menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Langkah-langkah tambahan akan diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan akses kepada pembiayaan akan berterusan dan kesan kelembapan ekonomi terhadap golongan tertentu yang terjejas akan dapat dikurangkan.

Bank Negara Malaysia
24 Feb 2009

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.