Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 01/09/04 21 Jan 2009 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Rabu 21 Januari 2009
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 75 mata asas kepada 2.50 peratus dengan serta-merta. Dengan keputusan ini, kadar tertinggi dan kadar terendah koridor bagi OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus. Keperluan Rizab Berkanun (SRR) juga diturunkan daripada 3.5 peratus kepada 2 peratus berkuat kuasa 1 Februari 2009. Berikutan peningkatan risiko pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah, penurunan OPR dan SRR yang nyata ini merupakan langkah awalan yang bertujuan untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih menyokong permintaan dalam negeri.

Keadaan ekonomi dan kewangan antarabangsa telah menjadi bertambah buruk sejak kebelakangan ini. Negara-negara perindustrian sedang mengalami kemelesetan ekonomi dan keadaan ini telah meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi global. Penguncupan permintaan global dan perdagangan antarabangsa serta penurunan harga komoditi telah menjejaskan perolehan eksport kebanyakan ekonomi serantau termasuk Malaysia. Faktor penguncupan ini telah diburukkan lagi oleh kemelut pasaran kewangan antarabangsa yang berpanjangan.

Penurunan yang ketara dalam ekonomi global dijangka memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi Malaysia. Kemerosotan yang nyata dalam permintaan luar negeri telah mengakibatkan penguncupan eksport dan aktiviti pelaburan swasta yang sederhana. Selain itu, perkembangan ini juga memberikan kesan terhadap keadaan pasaran pekerja. Dalam keadaan ini, pelaksanaan segera langkah dasar adalah penting ke arah memastikan ekonomi Malaysia terus mencapai pertumbuhan yang positif pada tahun 2009.

Dalam persekitaran pertumbuhan yang semakin sederhana dan harga komoditi yang ketara lebih rendah, inflasi terus menurun kepada 4.4 peratus pada bulan Disember 2008. Penurunan ini dijangka berterusan berikutan keadaan permintaan yang lebih lemah dan inflasi diimport yang lebih rendah.

Memandangkan asas sistem perbankan Malaysia terus kukuh, Bank akan terus berusaha ke arah memastikan kesemua sektor ekonomi mendapat akses kepada kredit dan penurunan kadar faedah melalui kos pinjaman yang lebih rendah.

Bank Negara Malaysia
21 Jan 2009

© Bank Negara Malaysia, 2009. All rights reserved.