Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/08/05 24 Nov 2008 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1930 pada hari Isnin 24 November 2008

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.25 peratus.   Berikutan keputusan ini, kadar tertinggi dan kadar terendah koridor bagi OPR masing-masing dikurangkan kepada 3.50 peratus dan 3.00 peratus.

Sejak mesyuarat MPC pada bulan yang lalu, prospek pertumbuhan global terus terjejas. Beberapa ekonomi maju telah pun mengalami kemelesetan susulan keadaan tekanan yang buruk dalam sistem kewangan masing-masing. Kemerosotan permintaan global yang ketara, kejatuhan harga komoditi yang besar dan penurunan harga ekuiti yang nyata telah memberikan tekanan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi serantau. Dalam persekitaran ini, inflasi global telah mula menurun dan trend ini dijangka berterusan.   Kesemua perkembangan global ini telah mendorong pihak berkuasa untuk menyediakan sokongan kecairan secara besar-besaran kepada pasaran kewangan dan mengambil langkah penyelesaian sektor kewangan, serta rangsangan fiskal dan pelonggaran dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, impak daripada kesemua langkah ini akan mengambil masa untuk mencapai objektifnya.

Perkembangan global yang buruk telah pun menjejaskan ekonomi Malaysia, seperti yang dicerminkan oleh prestasi eksport yang lebih perlahan dan harga ekuiti yang lebih rendah.  Sungguhpun permintaan dalam negeri masih mampan, terdapat tanda-tanda aktiviti sektor swasta akan menjadi lebih perlahan dalam keadaan pasaran pekerja yang tidak begitu menggalakkan serta persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.  Dalam keadaan begini, langkah mengekalkan permintaan dalam negeri adalah penting dalam memastikan pertumbuhan bagi tahun 2009 kekal positif.
  
Risiko terhadap kestabilan harga kini berkurang. Kadar inflasi mula menjadi  sederhana daripada kadar tertingginya pada suku ketiga 2008. Melangkah ke hadapan, pengurangan tekanan kos dan permintaan yang semakin perlahan dijangka memberikan kesan penurunan lebih besar terhadap inflasi. Oleh itu, inflasi dijangka lebih sederhana khususnya pada separuh tahun kedua 2009.

Memandangkan risiko pertumbuhan yang lebih rendah semakin nyata dan tekanan inflasi semakin berkurang, penurunan dalam kadar OPR merupakan langkah awalan yang bertujuan untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif.  Bagi mengurangkan lagi kos pengantaraan, MPC juga membuat keputusan untuk mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 4% kepada 3.5% berkuat kuasa 1 Disember 2008.

Melangkah ke hadapan, keadaan ekonomi dan kewangan dijangka terus  mengalami ketidaktentuan dan ketidakpastian. Bank Negara Malaysia akan  memantau dengan rapi perkembangan selanjutnya dan mengambil langkah-langkah dasar yang wajar untuk mengelakkan daripada berlakunya kemerosotan ekonomi yang ketara.

Mesyuarat turut meluluskan jadual mesyuarat MPC bagi tahun 2009. Pernyataan Dasar Monetari akan terus disiarkan pada pukul 6.00 petang pada hari yang sama mesyuarat MPC diadakan.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Tahun 2009

Bilangan
Tarikh
Pertama
21 Januari 2009 (Rabu)
Ke-2
24 Februari 2009 (Selasa)
Ke-3
29 April 2009 (Rabu)
Ke-4
26 Mei 2009 (Selasa)
Ke-5
29 Julai 2009 (Rabu)
Ke-6
25 Ogos 2009 (Selasa)
Ke-7
28 Oktober 2009 (Rabu)
Ke-8
24 November 2009 (Selasa)











 

Bank Negara Malaysia
24 Nov 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.