Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 10/08/07 24 Oct 2008 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1945 pada hari Jumaat 24 Oktober 2008

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.5 peratus.

Sejak Mesyuarat Dasar Monetari yang diadakan pada bulan Ogos yang lalu, keadaan ekonomi global terus terjejas dengan ketara manakala kemelut kewangan antarabangsa masih belum reda. Tumpuan penggubal dasar kini lebih kepada usaha memulihkan perjalanan pasaran kewangan antarabangsa dan mengelakkan ekonomi global daripada mengalami kelembapan yang ketara. Walaupun risiko pertumbuhan global yang lebih rendah semakin nyata, kebimbangan terhadap inflasi telah berkurang memandangkan harga komoditi dan tenaga telah menurun dan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan.

Meskipun pasaran kewangan Malaysia telah terjejas oleh perkembangan global ini, sistem kewangan domestik masih mempunyai mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dan pasaran kewangan terus berfungsi seperti biasa. Institusi perbankan pula beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, dan terus menyediakan pembiayaan kepada ekonomi.

Kadar inflasi semasa yang tinggi mencerminkan kesan pelarasan harga bahan api dan harga ditadbir lain yang telah dilaksanakan pada tahun ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan penilaian yang dibuat, inflasi kini telah mencapai paras tertinggi dan dijangka menjadi sederhana pada tahun 2009. Semakin banyak penunjuk kini menunjukkan tekanan inflasi menjadi semakin reda. Tekanan kos yang lebih rendah dan permintaan dalam negeri yang semakin sederhana dijangka menyebabkan inflasi menurun pada tahun 2009. Pertumbuhan global yang lebih rendah dan penurunan harga komoditi akan menjejaskan prestasi sektor eksport dan seterusnya memberikan kesan kepada keseluruhan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2009.

Malaysia memasuki tempoh yang mencabar ini dalam kedudukan yang teguh berikutan pertumbuhan yang kukuh selama beberapa tahun dan diperkuat oleh lebihan imbangan semasa, kedudukan rizab yang mantap, paras hutang luar negeri yang rendah, dan permodalan sistem perbankan yang kukuh. Dalam menghadapi tekanan inflasi yang semakin berkurang, dan sekira bertambahnya risiko pertumbuhan yang lebih rendah, Bank Negara Malaysia akan mengambil langkah dasar monetari yang segera untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Bank Negara Malaysia
24 Oct 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.