Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 08/08/09 25 Aug 2008 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Isnin 25 Ogos 2008
Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada paras 3.50 peratus.

Sejak mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang lalu, ekonomi global telah menjadi semakin lembap, dengan kemerosotan prestasi ekonomi yang semakin jelas di beberapa negara maju. Ini berlaku kerana tekanan kewangan, keadaan kredit yang ketat, kelemahan pasaran aset dan impak kenaikan harga tenaga dan komoditi. Kini, terdapat juga tanda-tanda penyederhanaan pertumbuhan ekonomi di beberapa negara sedang pesat membangun.

Ekonomi Malaysia telah menerima kesan daripada kesemua perkembangan ini. Sungguhpun sektor eksport negara telah mendapat manfaat daripada harga tenaga dan komoditi yang tinggi, namun pertumbuhan global yang lebih perlahan dijangka menyebabkan eksport menjadi sederhana. Tambahan lagi, permintaan dalam negeri sedang menghadapi kesan deflasi akibat daripada harga tenaga dan makanan yang lebih tinggi, keadaan pasaran guna tenaga yang lebih lemah, serta persekitaran perniagaan yang kian mencabar.

Inflasi dalam negeri dijangka terus tinggi pada bulan-bulan berikutnya tahun ini dan berlarutan hingga ke awal tahun 2009. Ini terutamanya mencerminkan kesan pusingan pertama pelarasan harga tenaga, serta harga komoditi dan makanan yang lebih tinggi. Penunjuk seperti Indeks Harga Pengeluar terus menunjukkan bahawa para peniaga masih menghadapi kos menjalankan perniagaan yang meningkat. Walau bagaimanapun, tekanan persaingan dan permintaan yang lebih perlahan dijangka membendung kesan kenaikan terhadap harga pengguna. Penurunan harga komoditi baru-baru ini juga dijangka mengurangkan tekanan kos. Secara keseluruhan, keadaan ekonomi yang lebih lembap akan mengurangkan kemungkinan kesan kenaikan harga pusingan kedua yang akan mendorong inflasi meningkat berterusan. Oleh itu, pada penilaian Bank Negara Malaysia, inflasi dijangka menjadi lebih sederhana pada separuh kedua tahun 2009.

Oleh yang demikian, Bank Negara Malaysia mengekalkan penilaiannya bahawa berikutan jangkaan kadar inflasi yang lebih rendah dalam tempoh jangka sederhana, keutamaan akan diberikan untuk mengelakkan penurunan yang ketara dalam aktiviti ekonomi. Paras OPR masa kini adalah sejajar dengan jangkaan ini. Pada masa hadapan, Bank akan terus menumpukan pada inflasi dan pertumbuhan jangka sederhana, dan membuat penilaian yang teliti terhadap perkembangan global dan dalam negeri, dalam menentukan pendirian dasar monetari.

Bank Negara Malaysia
25 Aug 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.