Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/08/09 25 Jul 2008 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam2000 pada hari Jumaat 25 Julai 2008
Ekonomi Malaysia telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan pada separuh pertama tahun ini. Namun, dalam tempoh dua belas bulan yang akan datang, ekonomi Malaysia dijangka menghadapi tempoh lebih mencabar kerana risiko inflasi yang lebih tinggi dan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan telah meningkat dengan lebih ketara. Penilaian menunjukkan pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan dengan kelembapan lebih nyata dan berpanjangan dalam beberapa ekonomi maju, dan pertumbuhan lebih sederhana dalam ekonomi sedang pesat membangun. Pada masa yang sama, harga komoditi dan tenaga dijangka kekal pada paras yang tinggi, lantas meningkatkan inflasi dalam ekonomi global.

Prestasi ekonomi Malaysia pada separuh pertama tahun 2008 telah didorong oleh permintaan dalam negeri yang teguh dan diperkukuh oleh prestasi eksport yang menggalakkan. Penstrukturan semula harga tenaga dalam negeri baru-baru ini supaya lebih hampir dengan paras harga antarabangsa yang lebih tinggi, bertujuan mengurangkan gangguan fundamental yang mungkin wujud, di samping memastikan kedudukan fiskal terus mampan. Pelarasan ini dijangka mengakibatkan kesan deflasi terhadap ekonomi negara pada separuh kedua tahun ini dan berlarutan hingga ke awal tahun 2009.

Pelarasan terhadap harga tenaga dan komoditi antarabangsa yang lebih tinggi telah menyebabkan harga pengguna dalam negeri meningkat. Pada bulan Jun, inflasi harga pengguna meningkat 7.7%, dengan kira-kira 41% daripada kenaikan dalam inflasi disebabkan oleh kos pengangkutan yang lebih tinggi, manakala kenaikan 41% lagi adalah kesan daripada harga makanan dan minuman tidak beralkohol yang lebih tinggi.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan inflasi akan kekal pada paras yang tinggi pada separuh kedua tahun 2008 dan awal tahun 2009, dan akan menjadi sederhana menjelang pertengahan tahun 2009. Inflasi purata bagi tahun 2008 diunjurkan dalam lingkungan 5.5 - 6.0%. Kadar inflasi dijangka menjadi sederhana pada separuh kedua tahun 2009 dalam persekitaran pertumbuhan yang lebih sederhana. Pada masa ini, sebahagian besar daripada peningkatan inflasi disebabkan oleh kenaikan harga bahan api. Perhatian pada ketika ini tertumpu pada kenaikan harga yang lebih meluas dan kesan kenaikan harga pusingan kedua, yang akan menyebabkan inflasi meningkat berterusan. Dalam keadaan sedemikian, langkah dasar monetari yang bersesuaian akan diambil bagi mengekalkan kestabilan harga dalam jangka sederhana dan memastikan inflasi yang tinggi tidak memberikan kesan kepada prospek pertumbuhan jangka panjang ekonomi Malaysia.

Dalam tempoh 12 bulan yang akan datang, meskipun risiko inflasi yang lebih tinggi dan risiko pertumbuhan yang lebih rendah akan meningkat, perhatian segera harus diberikan untuk mengelakkan kelembapan ekonomi yang akan mengakibatkan pengangguran yang lebih tinggi. Pertumbuhan yang perlahan dengan sendirinya akan membendung kemungkinan berlakunya kesan kenaikan harga pusingan kedua terhadap inflasi dan seterusnya membendung kenaikan harga pada separuh kedua tahun 2009. Dengan kekuatan asas ekonomi yang sedia ada, dan sektor perbankan yang berdaya tahan, penilaian Bank ialah ekonomi Malaysia berpotensi untuk kembali mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam jangka sederhana.

Berdasarkan penilaian ini, Jawatankuasa Dasar Monetari memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada paras 3.50%.

Bank Negara Malaysia
25 Jul 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.