Cetak       Kongsi


Pengurangan Fi Urus Niaga bagi Pembayaran Secara Elektronik

No Ruj : 07/08/03 09 Jul 2008 Embargo : Untuk Siaran Segera    
Bank Negara Malaysia mengumumkan pengurangan fi urus niaga untuk pembayaran yang dibuat oleh institusi kewangan bagi pihak pelanggan mereka dengan menggunakan sistem penyelesaian kasar masa nyata (RENTAS). Di samping itu, industri perbankan akan mengkaji semula struktur fi bagi pindahan dana kepada fi tetap, menggantikan Komisen Pertukaran Dalaman (Inland Exchange Commission) yang sedia ada sebanyak 0.03%. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran secara elektronik dengan lebih meluas dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

I. Pengurangan fi urus niaga RENTAS bagi pembayaran kepada pihak ketiga
Fi urus niaga yang dikenakan oleh bank ahli terhadap pembayaran bagi pihak ketiga iaitu pembayaran yang dibuat oleh bank ahli bagi pihak pelanggannya akan dikurangkan daripada RM2.50 kepada RM1.50 berkuat kuasa pada 15 Julai 2008. Berikutan langkah ini, caj bank yang kenakan oleh bank ahli terhadap pelanggan mereka bagi pembayaran penggunaan RENTAS juga dikurangkan sebanyak RM1.00 berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

II. Kajian semula Komisen Pertukaran Dalaman
Institusi kewangan akan mengkaji semula Komisen Pertukaran Dalaman sebanyak 0.03% yang dikenakan bagi pindahan dana dan mengenakan fi tetap sahaja bagi membiayai kos yang terlibat berkuat kuasa pada 15 Julai 2008. Ini seharusnya mengurangkan fi urus niaga yang dikenakan terhadap pelanggan institusi kewangan bagi pindahan dana antara negeri di Malaysia.

Bank Negara Malaysia
09 Jul 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.