Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 05/08/06 26 May 2008 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1900 pada hari Isnin 26 Mei 2008
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50 peratus.

Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik pada suku pertama 2008, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh. Tambahan lagi, walaupun eksport barangan elektrik dan elektronik berkurang, eksport bersih terus mapan, disokong oleh eksport komoditi dan barangan perkilangan berasaskan sumber yang lebih kukuh. Walau bagaimanapun, kini terdapat tanda-tanda yang lebih jelas pertumbuhan ekonomi utama dunia menjadi perlahan. Pertumbuhan ekonomi yang sederhana ini dijangka akan memberikan kesan terhadap ekonomi serantau termasuk Malaysia pada separuh kedua tahun ini.

Meskipun terdapat tanda-tanda pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, harga komoditi dan makanan terus meningkat. Secara khususnya, harga minyak telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Inflasi harga pengguna dalam negeri meningkat kepada 3% pada bulan April 2008 dan didorong terutamanya oleh harga makanan yang lebih tinggi. Terdapat peningkatan risiko inflasi global yang nyata berpunca daripada harga makanan dan tenaga yang terus tinggi. Walaupun tekanan sedemikian berkemungkinan besar akan menurun sekiranya pertumbuhan ekonomi global menjadi sederhana, tekanan harga dalam negeri dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

Jawatankuasa Dasar Monetari berpandangan bahawa data terbaru penunjuk utama ekonomi antarabangsa dan dalam negeri menunjukkan pada masa hadapan, risiko inflasi akan menjadi lebih tinggi, manakala risiko pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih rendah. Sekiranya imbangan risiko berubah ke arah inflasi yang lebih tinggi, Bank akan mengambil langkah dasar monetari yang sewajarnya. Buat masa ini, risiko-risiko ini dinilai agak seimbang. Justeru, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan pendirian dasar monetari semasa. Teras dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada maklumat lanjut mengenai imbangan risiko yang mana akan menjadi lebih ketara.

Bank Negara Malaysia
26 May 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.