Cetak       Kongsi


Pengenalan Sistem Pemangkasan dan Penukaran Cek

No Ruj : 04/08/03 08 Apr 2008 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pengenalan Sistem Pemangkasan dan Penukaran Cek (Cheque Truncation and Conversion System, CTCS) bagi menggantikan sistem penjelasan cek yang sedia ada. Sistem pemangkasan cek dijadualkan pelaksanaannya pada 23 Mei 2008 sementara sistem penukaran cek pula pada bulan Ogos 2008. Kedua-dua sistem ini akan mula dilaksanakan di Lembah Klang. Pelaksanaannya ke seluruh negara akan dibuat secara berperingkat-peringkat, bermula di Pulau Pinang dan Johor Bahru pada bulan Oktober 2008, dan di wilayah pantai timur, dan Sabah dan Sarawak pada bulan Januari 2009.

Sistem pemangkasan cek akan mengubah kaedah penjelasan cek di Malaysia daripada sistem berasaskan pertukaran cek secara fizikal kepada perakaman dan penyaluran imej serta data cek secara elektronik antara bank dengan syarikat penjelasan. Penukaran cek juga diperkenalkan sebagai satu kemudahan baharu bagi organisasi yang menerima cek dalam jumlah yang banyak seperti syarikat utiliti, telekom, insurans dan broker saham. Kemudahan ini membolehkan syarikat-syarikat tersebut mengubah data dalam kod pengecaman aksara dakwat magnet (magnetic ink character recognition, MICR) pada cek yang diterima, kepada arahan pembayaran untuk tujuan mendebitkan akaun pembayar cek. Kaedah ini boleh mempercepat dana dikreditkan ke dalam akaun penerima.

Pengenalan CTCS merupakan langkah penting dalam memodenkan infrastruktur pemprosesan cek di negara ini kerana ia merintis jalan ke arah mengelektronikkan cek dan mengurangkan risiko serta kos berkaitan dengan instrumen pembayaran berasaskan kertas . Sungguhpun sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat perubahan dalam cara pembayaran daripada menggunakan cek kepada pembayaran secara elektronik, cek terus merupakan instrumen pembayaran penting yang mencakupi 93% daripada nilai pembayaran bukan tunai. Sehubungan dengan itu, usaha untuk mempertingkatkan kecekapan penjelasan cek akan menyumbang kepada pengurangan kos operasi, kos menjalankan perniagaan dan dengan itu meningkatkan daya saing sektor perniagaan dan ekonomi secara keseluruhan.

Pelanggan dan sektor perniagaan akan mendapat manfaat daripada sistem penjelasan cek yang lebih pantas dan efisien, terutamanya dari segi waktu dana bagi cek luar kawasan dikreditkan ke dalam akaun mereka, kemudahan penukaran cek dan pemulangan cek yang tidak dijelaskan kepada pendeposit. Dengan CTCS, cek tempatan dan cek luar kawasan akan dijelaskan pada hari yang sama dan ini membolehkan pendeposit cek menerima dana seawal pada hari perniagaan berikutnya, berbanding dengan tempoh lima hingga lapan hari perniagaan bagi cek luar kawasan pada masa ini. Penjelasan segera cek juga disediakan di bawah CTCS yang membolehkan penjelasan cek dan penerimaan dana pada hari yang sama.

Bagi memudahkan pelaksanaan CTCS dan membolehkan bank bertukar daripada pengemukaan cek fizikal untuk tujuan penjelasan, Akta Bil Pertukaran 1949 telah dipinda bagi membenarkan bank mengemukakan imej cek dan data elektronik bagi tujuan pembayaran . Akta Keterangan 1950 turut memperakui cetakan komputer bagi imej dan data cek sebagai bahan bukti dalam mahkamah menggantikan cek fizikal. Di samping itu, cetakan nama dan nombor pendaftaran syarikat sebagai ganti cap getah, cop atau cap syarikat adalah mematuhi keperluan Akta Syarikat 1965.

Manfaat jangka panjang daripada pelaksanaan CTCS dijangka diraih oleh sektor perniagaan, industri perbankan dan negara keseluruhannya kerana pengelektronikan cek, terutamanya penukaran pembayaran cek kepada arahan pembayaran elektronik akan menerajui pemindahan kepada pembayaran elektronik. Mengambil peluang daripada bilangan kad ATM yang tinggi di negara ini, iaitu melebihi 21 juta, usaha sedang dijalankan untuk menggunakan kad ATM sebagai kad debit bagi menggantikan penggunaan wang tunai. Usaha juga diambil untuk menggunakan kepopularan Internet yang semakin meningkat sebagai saluran transaksi perbankan dan pembayaran. Tambahan lagi, penggunaan telefon mudah alih yang tinggi di Malaysia akan turut dimanfaatkan bagi meningkatkan penggunaan dan penawaran perkhidmatan pembayaran secara elektronik.

Lihat juga: Soalan lazim untuk Sistem Pemangkasan dan Penukaran Cek

Bank Negara Malaysia
08 Apr 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.