Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 08/07/04 24 Aug 2007 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1815 pada hari Jumaat 24 Ogos 2007
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50%.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada separuh tahun pertama terus menggalakkan. Pertumbuhan sektor luaran yang lebih perlahan telah diimbangi oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri yang lebih kukuh. Dalam menilai prospek bagi tempoh berikutnya pada tahun 2007, kegawatan dalam pasaran kewangan antarabangsa sejak beberapa minggu kebelakangan ini telah meningkatkan ketidakpastian mengenai pertumbuhan ekonomi global. Sungguhpun ekonomi negara tidak terkecuali daripada keadaan turun naik dalam pasaran kewangan global dan penyederhanaan permintaan global yang mungkin menyusul, asas-asas ekonomi dalam negeri yang kukuh akan menyediakan landasan yang teguh untuk pertumbuhan.

Meskipun kenaikan harga makanan dan komoditi global berkemungkinan meningkatkan risiko kenaikan harga, kadar inflasi di Malaysia dijangka kekal rendah. Jangkaan inflasi juga terus terbendung.

Pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada penilaian Bank Negara Malaysia terhadap data dan maklumat terbaharu dan implikasinya terhadap prospek jangka sederhana kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi.

Bank Negara Malaysia
24 Aug 2007

© Bank Negara Malaysia, 2007. All rights reserved.