Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/07/07 24 Jul 2007 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Selasa 24 Julai 2007

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50%.

Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada separuh tahun pertama terus menggalakkan. Pertumbuhan sektor luaran yang lebih perlahan telah diimbangi oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri yang lebih kukuh. Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka akan menjadi lebih kukuh pada separuh kedua tahun 2007. Data terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara rakan dagangan utama Malaysia mulai menyokong pertumbuhan eksport negara. Ini akan melengkapi pertumbuhan kukuh dalam permintaan dan pelaburan dalam negeri yang dijangka berterusan sepanjang tempoh berikutnya pada tahun 2007.

Inflasi menjadi sederhana pada separuh pertama tahun 2007 kepada paras 1.4% pada bulan Jun dan pada purata 2% bagi keseluruhan tempoh tersebut. Bagi separuh kedua tahun 2007, inflasi dijangka meningkat sedikit disebabkan oleh faktor dalam dan luar negeri. Namun, kadar inflasi purata bagi tahun 2007 dijangka berada pada paras rendah dalam julat 2 - 2.5% yang diunjurkan.

Pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada penilaian Bank Negara Malaysia terhadap data dan maklumat terbaharu dan implikasinya terhadap prospek jangka sederhana kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi.

Bank Negara Malaysia
24 Jul 2007

© Bank Negara Malaysia, 2007. All rights reserved.