Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 04/07/07 27 Apr 2007 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1900 pada hari Jumaat 27 April 2007
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50%.

Penunjuk penggunaan dan pelaburan dalam negeri terus mencerminkan pertumbuhan permintaan dalam negeri yang mampan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang lebih sederhana dijangka menyebabkan pertumbuhan eksport menjadi sederhana sedikit pada separuh pertama tahun ini. Namun, penyederhanaan ini dijangka diimbangi sebahagiannya oleh pertumbuhan yang mampan di negara rakan perdagangan Malaysia yang lain. Walaupun persekitaran luaran ini akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih sederhana pada separuh pertama tahun ini, bagi keseluruhan tahun, ekonomi Malaysia dijangka akan mencapai pertumbuhan yang mampan. Pertumbuhan ekonomi akan didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang dijana oleh penggunaan dan pelaburan sektor swasta, dengan sektor awam memainkan peranan yang penting dalam menyokong pertumbuhan.

Dari segi prospek inflasi, tidak terdapat tekanan inflasi yang ketara dalam ekonomi. Oleh yang demikian, dengan luputnya kesan kenaikan harga petroleum runcit, inflasi menjadi sederhana kepada kadar 1.5% pada bulan Mac. Kadar inflasi purata bagi tahun 2007 dijangka kekal dalam julat 2 - 2.5%.

OPR pada masa ini terus berada pada paras yang sesuai dengan prospek jangka sederhana inflasi yang secara relatif rendah dan stabil, dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada penilaian Bank Negara Malaysia mengenai implikasi perkembangan dalam dan luar negeri terhadap kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi.

Bank Negara Malaysia
27 Apr 2007

© Bank Negara Malaysia, 2007. All rights reserved.