Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 09/06/08 26 Sep 2006 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Selasa 26 September 2006

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.50%.

Penilaian yang dibuat terhadap ekonomi Malaysia dalam Pernyataan Dasar Monetari yang lepas terus tidak berubah. Data ekonomi terkini menunjukkan ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar yang stabil, meskipun pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih perlahan pada separuh kedua tahun 2006.

Seperti yang dijangka, inflasi terus menurun. Pada masa ini, penyederhanaan harga minyak global, jika berterusan, di samping pertumbuhan global yang dijangka sederhana sedikit, akan membendung tekanan inflasi dalam jangka masa terdekat. Walaupun inflasi mungkin meningkat sedikit pada bulan-bulan yang akan datang disebabkan oleh faktor bermusim, trend tekanan harga yang secara amnya menurun akan berterusan sekiranya perkembangan semasa berlanjutan.

Pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan bergantung pada penilaian Bank Negara Malaysia terhadap maklumat baru tentang prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
26 Sep 2006

© Bank Negara Malaysia, 2006. All rights reserved.