Cetak       Kongsi


Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Memulakan Operasi

No Ruj : 04/06/04 17 Apr 2006 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memulakan operasinya hari ini. Penubuhan agensi ini merupakan sebahagian daripada usaha membina rangka kerja perlindungan pengguna yang komprehensif serta langkah proaktif bagi memastikan sektor isi rumah terus mapan dan berdaya tahan. Agensi ini merupakan anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia dan akan menyediakan khidmat nasihat, kaunseling dan bantuan kepada individu dalam bidang berkaitan dengan kredit, pengurusan kewangan dan pendidikan serta penstrukturan semula hutang. Kesemua perkhidmatan AKPK adalah percuma.

AKPK akan membantu peminjam perseorangan yang layak untuk menstruktur semula hutang yang berkaitan dengan pinjaman perumahan, sewa beli, kad kredit, kad caj dan pinjaman peribadi lain yang diperoleh daripada institusi 1 yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. AKPK tidak menyediakan sebarang kemudahan kredit kepada pelanggan.

Mohamed Akwal bin Sultan Mohamad, pegawai kanan Bank Negara Malaysia telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi itu. Encik Mohamed Akwal mempunyai pengalaman selama lebih daripada 25 tahun dalam sektor kewangan dan berpengalaman luas dalam bidang berhubung dengan penyelesaian hutang, semasa beliau berkhidmat dengan Danaharta dan Skim Penyelesaian Hutang Kecil.

Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan AKPK boleh menghubungi/melawat alamat berikut:

  1. Pejabat AKPK di:
    Aras 8, Maju Junction Mall,
    1001, Jalan Sultan Ismail,
    50250 Kuala Lumpur
    Talian bebas tol: 1800 88 2575

  2. Laman web AKPK di www.akpk.org.my
     
  3. Cawangan penyedia perkhidmatan kewangan di seluruh negara
     
  4. Cawangan Bank Negara Malaysia di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Terengganu

1 Semua bank perdagangan, semua bank Islam, semua penanggung insurans, semua pengendali takaful, institusi kewangan pembangunan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia dan pengeluar kad kredit/caj di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia .

Bank Negara Malaysia
17 Apr 2006

© Bank Negara Malaysia, 2006. All rights reserved.