Cetak       Kongsi


Pengenalan Penasihat Kewangan

No Ruj : 11/05/7 (BN) 08 Nov 2005 Embargo : Untuk Siaran Segera    
Landskap kewangan yang berubah-ubah dan keperluan pengguna yang semakin canggih memerlukan standard yang lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan dalam negeri. Sebagai respons terhadap permintaan yang meningkat untuk produk kewangan yang kompleks, pengenalan pengantara profesional seperti penasihat kewangan bagi membolehkan warganegara Malaysia mendapat nasihat profesional tentang pilihan produk dan perkhidmatan kewangan yang lebih luas merupakan saranan penting dalam Pelan Induk Sektor Kewangan. Penasihat kewangan akan memainkan peranan penting dalam menyediakan khidmat nasihat kewangan yang holistik kepada pengguna, termasuk perlindungan insurans, simpanan untuk pendidikan, perancangan persaraan dan pelaburan untuk masa hadapan.

Dengan penggubalan Akta Insurans (Pindaan) 2005 dan Peraturan-Peraturan Insurans (Pindaan) 2005 baru-baru ini, Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa rangka kerja pengawalseliaan telah sedia ada bagi pelesenan penasihat kewangan. Ciri penting keperluan pelesenan untuk penasihat kewangan adalah seperti yang berikut:-
  1. Penasihat kewangan akan dilesenkan di bawah Akta Insurans kerana ia merupakan satu kategori pengantara yang baru. Selain produk insurans, penasihat kewangan mungkin memberikan khidmat nasihat dan memasarkan produk kewangan lain tertakluk kepada kebenaran awal daripada pihak berkuasa berkenaan;

  2. Definisi aktiviti penasihat kewangan merangkumi analisis keperluan perancangan kewangan seseorang individu berkaitan dengan produk insurans, mencadangkan produk insurans yang sesuai, mendapatkan produk insurans daripada penanggung insurans atau mengatur kontrak berkaitan dengan produk insurans;

  3. Penasihat kewangan mestilah sebuah badan korporat dengan modal berbayar minimum yang tidak akan terjejas oleh kerugian sebanyak RM100,000 dan pemilik majoritinya ialah warganegara Malaysia;

  4. Penasihat kewangan perlu sekurang-kurangnya mempunyai perlindungan insurans indemniti profesional minimum sebanyak RM200,000 bagi memberikan perlindungan kepada pengguna dalam hal kealpaan profesional;

  5. Lesen penasihat kewangan akan diperbaharui setiap tahunan tertakluk kepada pematuhan kepada keperluan pelesenan;

  6. Penasihat kewangan juga akan tertakluk kepada keperluan am yang lain yang dikenakan atas empunya lesen di bawah Akta Insurans, seperti perubahan dalam entiti pemegangan saham, kelulusan terhadap perlantikan ketua pengarah eksekutif dan pengarah, pembukaan cawangan dan penyerahan borang akaun tahunan;

  7. Wakil penasihat kewangan yang akan terlibat dalam memberikan khidmat nasihat mesti diluluskan oleh Bank Negara Malaysia dan memiliki kelayakan profesional minimum yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Ini bagi memastikan yang mereka mempunyai tahap kompetensi yang sesuai untuk memberikan khidmat nasihat kepada pengguna; dan

  8. Penggunaan istilah "penasihat kewangan" adalah terhad kepada pemegang lesen penasihat kewangan dan entiti yang dikecualikan di bawah Akta Insurans. Pengehadan penggunaan istilah "penasihat kewangan" akan memberikan pengguna keyakinan yang nasihat kewangan adalah daripada sebuah entiti yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia.

Peraturan penasihat kewangan akan membantu menggalakkan pembangunan industri perancangan kewangan yang teratur. Di samping menjadi saluran pengagihan baru bagi industri insurans, penasihat kewangan menawarkan kepada pengguna produk kewangan yang lebih pelbagai dan bertindak sebagai satu pusat sehenti bagi perancangan kewangan. Pengenalan penasihat kewangan akan mempertingkat penembusan pasaran industri insurans hayat, terutamanya di kalangan pengguna kelas atasan. Penasihat kewangan juga akan menyediakan tahap profesionalisme yang lebih tinggi dalam penjualan produk insurans hayat. Pengguna boleh mengharapkan penasihat kewangan berlesen menyediakan perancangan kewangan yang efektif berdasarkan pendekatan berasaskan keperluan daripada semata-mata kepada produk yang didorong oleh penjualan. Tidak seperti ejen insurans, penasihat kewangan tidak akan terikat kepada pengeluar produk tertentu.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keperluan pelesenan penasihat kewangan boleh berhubung dengan Jabatan Pengawalan Insurans, Bank Negara Malaysia pada talian telefon bernombor 03-2698 8044 samb. 7845/8542 atau melawat ke laman web Bank di http://www.bnm.gov.my.

Lihat juga:

Bank Negara Malaysia
08 Nov 2005

© Bank Negara Malaysia, 2005. All rights reserved.