Cetak       Kongsi


Operasi Serbuan Bersama Terhadap Perniagaan Perkhidmatan Wang Haram dan Rangkaiannya

No Ruj : 04/16/06 18 Apr 2016 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Satu operasi serbuan bersama telah dijalankan baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (National Revenue Recovery Enforcement Team, NRRET), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap rangkaian perniagaan perkhidmatan wang (money services businesses, MSB) haram.

Sebanyak 18 premis perniagaan di Johor dan Negeri Sembilan telah diserbu dengan dokumen-dokumen yang berkenaan dirampas dan akaun bank mereka dibekukan untuk membantu siasatan. Semasa operasi serbuan dijalankan, 14 suspek telah ditahan dan direman, dan 24 individu disoal siasat. Serbuan bersama itu juga telah menyebabkan wang tunai dan harta benda yang bernilai lebih daripada RM15 juta dirampas dan seorang money mule yang mempunyai kaitan dengan operasi MSB haram ditahan.

Rangkaian MSB haram ini diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan menjalankan aktiviti MSB (yang merangkumi aktiviti pengurupan dan pengiriman wang) tanpa lesen di bawah S4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan juga kerana menjalankan aktiviti pengubahan wang haram, yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pengendali MSB haram ini juga disyaki menyeberang sempadan negara dengan membawa keluar wang tunai yang melebihi jumlah bersamaan dengan USD10,000 tanpa mengisytiharkannya kepada JKDM. Di bawah seksyen 28B AMLA, bersama-sama dengan Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Perisytiharan Wang Tunai dan Instrumen Boleh Niaga Pembawa) 2014, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya tidak mengisytiharkan kepada JKDM wang tunai melebihi jumlah yang bersamaan dengan USD10,000 yang dibawa menyeberang sempadan Malaysia.   

Mereka yang didapati bersalah di bawah seksyen 4(1) MSBA akan dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta ringgit atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLA, individu yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta ringgit, yang mana lebih tinggi. Selain itu, bagi kesalahan di bawah seksyen 28(B) AMLA, individu yang didapati bersalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta ringgit atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihati supaya berurusan hanya dengan MSB berlesen untuk pengurupan atau pengiriman wang.  Mereka tidak akan dilindungi terhadap sebarang kerugian kewangan sekiranya berlaku pertikaian. Orang ramai hendaklah melakukan transaksi mereka dengan MSB berlesen yang disenaraikan di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

Orang ramai juga diingatkan bahawa mana-mana individu yang meninggalkan atau memasuki Malaysia dengan membawa wang tunai atau instrumen boleh niaga pembawa atau kedua-duanya sekali melebihi jumlah yang bersamaan dengan USD10,000 dikehendaki mengisytiharkannya kepada JKDM.

Bank Negara Malaysia
18 Apr 2016

© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.