Cetak       Kongsi


Institusi Perbankan Tawarkan Akaun Simpanan Asas dan Akaun Semasa Asas

No Ruj : 01/05/48 (BN) 20 Jan 2005 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1700 pada hari Khamis 20 Januari 2005

Berkuatkuasa mulai 1 Februari 2005, semua bank perdagangan dan syarikat kewangan 1 akan menawarkan akaun simpanan asas (BSA) dan akaun semasa asas (BCA) tanpa kemudahan overdraf kepada semua warganegara Malaysia, termasuk pemastautin tetap.

Pemegang-pemegang akaun BSA dan BCA akan mendapat akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan berikut melalui akaun-akaun asas:

  1. Deposit cek dan tunai;
  2. Pertanyaan akaun;
  3. Pengeluaran wang;
  4. Pemindahan dana dalam institusi perbankan yang sama;
  5. Kemudahan pembayaran bil seperti yang ditawarkan oleh institusi-institusi perbankan; dan
  6. Interbank-GIRO 2

Dalam menggunakan perkhidmatan yang disediakan, pemegang akaun layak melakukan sekurang-kurangnya 16 transaksi sebulan bagi setiap akaun, terdiri daripada perkara-perkara yang berikut:

  1. Enam kunjungan percuma ke kaunter bagi pertanyaan akaun, pengeluaran wang, pemindahan dana dalam institusi perbankan yang sama serta pembayaran bil. Kunjungan ke kaunter adalah ditakrifkan sebagai satu kunjungan ke kaunter bank tanpa mengambil kira bilangan transaksi yang dilakukan;
  2. Lapan transaksi percuma pengeluaran wang melalui ATM. Tiada had bagi transaksi ATM yang tidak melibatkan pengeluaran wang (contohnya, pertanyaan baki atau pemindahan dana dalam institusi perbankan yang sama); dan
  3. Dua transaksi interbank-GIRO yang boleh dikenakan fi maksimum sebanyak RM0.50 bagi setiap transaksi.

Semua transaksi deposit ke dalam akaun pemegang BSA dan BCA adalah percuma. Walau bagaimanapun, sekiranya perkhidmatan deposit layan diri disediakan dan pemegang akaun masih memilih untuk melakukan deposit di kaunter, transaksi ini dianggap sebahagian daripada had perkhidmatan di kaunter.

Pemegang akaun BSA dan BCA di institusi perbankan yang menawarkan perkhidmatan perbankan Internet juga layak menikmati perkhidmatan berikut secara percuma dan tanpa had: pertanyaan akaun dalam talian (online) , pemindahan dana dalam institusi perbankan yang sama dan pembayaran bil.

Perkhidmatan minimum yang ditawarkan di bawah BSA dan BCA adalah merupakan antara perkhidmatan-perkhidmatan perbankan yang sering digunakan oleh orang ramai. Bilangan transaksi yang diberi secara percuma atau yang dikenakan caj minimal memadai untuk memenuhi keperluan kebanyakan pelanggan perbankan.

Butiran lanjut mengenai BSA dan BCA adalah seperti dalam Lampiran.

Orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi institusi perbankan masing-masing bagi mengetahui sama ada akaun mereka yang sedia ada layak diklasifikasikan sebagai BSA dan BCA serta prosedur untuk membuka akaun baru BSA dan BCA.

Bank Negara Malaysia kini sedang mengkaji semula fi dan caj yang dikenakan oleh institusi perbankan, termasuk transaksi yang melebihi nilai ambang (thresholds) yang ditetapkan di bawah BSA dan BCA. Bank Negara Malaysia akan memastikan semua caj-caj tersebut, termasuk caj-caj baru adalah bersesuaian, munasabah serta mencerminkan tanggungan kos dan penjimatan kos. Sementara menunggu hasil kajian, institusi perbankan dibenarkan mengenakan caj-caj yang sedia ada.

Di samping itu, institusi-institusi perbankan dikehendaki memastikan butiran fi dan caj yang dikenakan ke atas produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana disediakan di semua cawangan dan laman web masing-masing berkuatkuasa mulai 1 Februari 2005.

Bank Negara Malaysia
20 Januari 2005

1 Syarikat-syarikat kewangan hanya dikehendaki menawarkan Akaun Simpanan Asas

2 MEPS Interbank-GIRO ialah sistem pembayaran dan pemindahan dana elektronik antara bank yang dihadkan sehingga maksimum RM100,000 setiap transaksi.

Lampiran : Ciri-ciri BSA dan BCA

No.   Parameter
1 Kelayakan
  • Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap. Bagi BCA, pemohon mestilah berumur sekurang-kurangnya lapan belas tahun dan syarat yang memerlukan pencadang dikekalkan.
  • Layak untuk 1 BSA dan 1 BCA bagi setiap individu untuk setiap institusi perbankan.
2 Ciri-ciri

Akaun Simpanan Asas (BSA)

  • Had deposit permulaan yang ditetapkan untuk membuka BSA tidak melebihi RM20
  • Faedah akan dibayar tanpa mengira baki akaun
  • Tiada caj perkhidmatan atau penyelenggaraan
  • Had baki minimum yang ditetapkan tidak boleh melebihi RM20
  • Penyata mini percuma

 

Akaun Semasa Asas (BCA)

  • Had deposit permulaan yang ditetapkan untuk membuka BCA tidak melebihi RM500
  • Tiada caj yang dikenakan bagi pengeluaran buku cek kecuali duti setem
  • Caj perkhidmatan sebanyak RM10 bagi setiap setengah tahun dikenakan ke atas akaun yang mempunyai baki kurang daripada RM1,000 seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan ABM yang sedia ada
  • Penyata bulanan percuma
3 Bilangan transaksi bulanan minimum

Pemegang akaun layak melakukan 16 transaksi sebulan bagi setiap akaun, terdiri daripada perkara-perkara yang berikut :

  1. Enam kunjungan percuma ke kaunter bagi pertanyaan akaun, pengeluaran wang, pemindahan dana dalam institusi perbankan yang sama dan pembayaran bil. Kunjungan ke kaunter adalah ditakrifkan sebagai satu kunjungan ke kaunter bank tanpa mengambil kira bilangan transaksi yang dilakukan;
  2. Lapan transaksi percuma pengeluaran wang melalui ATM. Tiada had bagi transaksi ATM yang tidak melibatkan pengeluaran wang (contohnya, pertanyaan baki atau pemindahan dana dalam institusi perbankan yang sama); dan
  3. Dua transaksi interbank-GIRO yang boleh dikenakan fi maksimum sebanyak RM0.50 bagi setiap transaksi.

Nota : Bagi institusi perbankan yang tidak mempunyai kemudahan ATM dan/atau GIRO, pemegang akaun boleh melakukan transaksi-transaksi ini di kaunter.

4 Kemudahan Perbankan Internet Pemegang akaun BSA dan BCA bagi sesebuah institusi perbankan yang mempunyai perkhidmatan perbankan internet layak melakukan pertanyaan akaun dalam talian tanpa had, pemindahan dana di bawah institusi perbankan yang sama dan pembayaran bil, tanpa dikenakan sebarang caj.
5 Lain-lain fi dan caj
  1. Penggantian kad ATM/Bankcard (tidak melebihi RM12)
  2. Penutupan BSA dan BCA dalam masa 3 bulan selepas akaun dibuka (tidak melebihi RM20)

 


Bank Negara Malaysia
20 Jan 2005

© Bank Negara Malaysia, 2005. All rights reserved.