Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 05/16/07 19 May 2016 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1800 pada hari Khamis 19 Mei 2016

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Ekonomi global, merentas ekonomi maju utama dan sedang pesat membangun, terus berkembang walaupun pada kadar yang lebih sederhana pada suku pertama 2016. Di Asia, permintaan dalam negeri kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan dalam keadaan sektor luaran yang terus lemah. Keadaan turun naik pasaran kewangan antarabangsa telah reda dan sentimen pelabur  bertambah baik, walaupun keadaan ini turut terdedah kepada perkembangan  dasar dan pasaran. Isu struktural dan pekembangan geopolitik akan terus mengekang pertumbuhan ekonomi global pada masa akan datang meskipun keadaan monetari amat akomodatif.

Bagi Malaysia, pertumbuhan menjadi sederhana sedikit pada suku pertama tahun ini sejajar dengan jangkaan awal. Aktiviti ekonomi pada masa akan datang dijangka bertambah baik, dengan permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu pertumbuhan utama. Penggunaan swasta dijangka terus berkembang, disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan, serta pendapatan boleh guna tambahan berikutan langkah-langkah yang diumumkan semasa Pengubahsuaian Bajet 2016. Sungguhpun pertumbuhan pelaburan swasta menjadi sederhana disebabkan pelaburan yang lebih rendah oleh  industri minyak dan gas serta sektor komoditi, aktiviti pelaburan keseluruhan akan terus disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Sektor luaran akan terus dikekang oleh persekitaran luaran yang lemah. Oleh itu, prospek pertumbuhan ekonomi dijangka berkembang antara 4% hingga 4.5% pada tahun 2016.

Purata inflasi pada suku pertama 2016 ialah 3.4% dan trend ini dijangka lebih rendah untuk baki tempoh tahun ini disebabkan oleh harga tenaga dan komoditi yang rendah dan inflasi global yang pada amnya lemah.

Keadaan kewangan domestik keseluruhan kekal stabil. Sistem kewangan terus utuh dengan mudah tunai yang meningkat dalam sistem kewangan domestik, pasaran kewangan dan pertukaran asing yang terus berfungsi dengan teratur dan institusi kewangan yang beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah konsisten dengan kadar pertumbuhan aktiviti ekonomi dan keadaan pembiayaan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pada kadar semasa OPR ini, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC menyedari bahawa terdapat risiko dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global dan sedang memantau dengan rapi serta menilai implikasinya terhadap kestabilan harga dan pertumbuhan dalam negeri. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan pertumbuhan ekonomi Malaysian yang mampan.

MPC turut membuat keputusan untuk menyiarkan Pernyataan Dasar Monetari pada masa akan datang pada pukul 3.00 petang hari kedua mesyuarat MPC.

Bank Negara Malaysia
19 May 2016

© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.