Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/16/03 13 Jul 2016 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Rabu 13 Julai 2016

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus. Pada masa yang sama, kadar tertinggi dan terendah bagi koridor OPR juga dikurangkan, masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
 
Ekonomi global terus mencatat kadar pertumbuhan yang lebih sederhana, merentas ekonomi maju utama dan ekonomi sedang pesat membangun. Di Asia, kelemahan sektor luaran yang berterusan telah memberi kesan kepada  pertumbuhan, meskipun permintaan dalam negeri kekal menyokong pertumbuhan ekonomi. Melangkah ke hadapan, tanda-tanda semakin nyata bahawa  momentum pertumbuhan ekonomi utama menjadi semakin sederhana. Prospek pertumbuhan global rentan kepada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah berikutan kesan yang mungkin timbul daripada referendum EU di United Kingdom. Pasaran kewangan antarabangsa juga terdedah kepada turun naik yang lebih ketara pada masa akan datang. Sehubungan dengan ini, keadaan monetari global dijangka kekal sangat akomodatif.
 
Bagi Malaysia, permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu pertumbuhan utama. Penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan guna tenaga, serta langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Sungguhpun pelaburan dalam sektor minyak dan gas semakin sederhana, pelaburan keseluruhan dijangka disokong oleh pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Eksport dijangka kekal lemah berikutan permintaan yang lembap daripada negara perdagangan utama Malaysia. Secara keseluruhan, meskipun ekonomi negara dijangka terus berkembang pada tahun 2016 dan 2017, persekitaran global yang tidak menentu mungkin akan memberi kesan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.   

Inflasi adalah lebih rendah berikutan luputnya kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) pada bulan April 2015 dan dijangka kekal stabil dalam keadaan harga tenaga dan komoditi yang lembap serta inflasi global yang pada amnya rendah. Sehubungan dengan itu, inflasi diunjurkan lebih rendah pada 2 – 3 peratus pada tahun 2016, berbanding dengan unjuran awal pada 2.5 – 3.5 peratus dan terus stabil pada tahun 2017.
 
Keadaan kewangan domestik secara keseluruhan kekal stabil sejak mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari sebelum ini dan pasaran kewangan terus berfungsi dengan teratur. Risiko ketidakseimbangan kewangan telah reda. Langkah-langkah kehematan makro dan mikro yang dilaksanakan serta pengawasan penyeliaan telah mewujudkan piawaian pinjaman yang lebih berhemat dan membendung aktiviti spekulatif dalam pasaran harta tanah.
 
Pelarasan terhadap OPR bertujuan memastikan tahap akomodatif monetari kekal konsisten dengan pendirian dasar bagi memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan yang kukuh dalam ekonomi. MPC akan terus memantau dan menilai keseimbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Lihat juga:

Bank Negara Malaysia
13 Jul 2016

© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.