Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/16/14 23 Nov 2016 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Rabu 23 November 2016

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global terus meningkat pada kadar yang sederhana. Aktiviti ekonomi di negara-negara maju yang utama bertambah baik, namun pertumbuhan kekal pada kadar sederhana. Di Asia, pertumbuhan disokong oleh permintaan dalam negeri dalam keadaan sektor luaran yang berterusan lemah. Pada masa akan datang, unjuran asas (baseline estimate) menunjukkan bahawa pertumbuhan global akan menjadi bertambah baik sedikit pada tahun 2017. Prospek bagi peralihan ke arah penggunaan dasar fiskal secara progresif dalam ekonomi maju boleh membawa kepada persekitaran dasar yang lebih seimbang, yang seterusnya menyokong pertumbuhan pada masa akan datang. Namun, terdapat ketidakpastian yang berpunca daripada risiko perlindungan perdagangan dan turun naik pasaran kewangan. Turun naik pasaran kewangan yang semakin ketara dalam minggu-minggu kebelakangan ini telah memberi kesan ke atas pelbagai kelas aset, kadar pertukaran, dan juga kadar hasil dalam banyak ekonomi sedang pesat membangun. Keadaan pasaran kewangan global dijangka terdedah kepada perkembangan dasar dan pasaran.

Ekonomi dalam negeri terus berkembang pada suku ketiga tahun ini, didorong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta serta sedikit sokongan daripada eksport bersih. Pada masa akan datang, aktiviti sektor swasta akan terus menjadi peneraju utama pertumbuhan. Penggunaan swasta dijangka terus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan, di samping sokongan tambahan daripada langkah-langkah yang dilaksanakan Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna. Aktiviti pelaburan, meskipun sederhana, akan terus disokong oleh pelaburan infrastruktur yang sedang dijalankan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Di sektor luaran, eksport dijangka berkembang namun akan dikekang oleh permintaan yang perlahan daripada rakan perdagangan Malaysia yang utama. Secara keseluruhan, ekonomi dalam negeri kekal pada landasan pertumbuhan seperti unjuran yang dibuat pada tahun 2016 dan 2017.

Inflasi keseluruhan bagi tahun 2016 dijangka berada pada paras lebih rendah dalam julat yang dianggarkan antara 2.0% hingga 2.5%. Inflasi dijangka kekal stabil secara relatif pada tahun 2017 memandangkan persekitaran harga tenaga dan komoditi global yang rendah dan juga inflasi global yang pada amnya rendah.

Ringgit dan kebanyakan mata wang pasaran sedang pesat membangun telah mengalami pelarasan yang mendadak dan turun naik yang ketara disebabkan oleh ketidakpastian yang berterusan dalam persekitaran ekonomi dan dasar global, serta perkembangan geopolitik. Faktor-faktor ini boleh menyebabkan berlakunya turun naik untuk tempoh tertentu dalam pasaran kewangan dan pertukaran asing serantau. Sehubungan dengan itu, Bank Negara Malaysia akan terus menyediakan mudah tunai bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur. Pasaran modal kekal dapat diakses, kukuh dan cair. Mudah tunai sistem perbankan lebih daripada mencukupi. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh manakala pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah konsisten dengan kadar pertumbuhan aktiviti ekonomi.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar untuk memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan dalam ekonomi yang terus kukuh. Risiko ketidakseimbangan kewangan telah dapat dibendung. Walau bagaimanapun, MPC akan terus memantau risiko ini bagi memastikan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan.

Mesyuarat juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2017. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC akan bermesyuarat sebanyak enam kali pada tahun 2017. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada pukul 3 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari 2017

Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

18 dan 19 Januari 2017 (Rabu dan Khamis)

Ke-2

1 dan 2 Mac 2017 (Rabu dan Khamis)

Ke-3

11 dan 12 Mei 2017 (Khamis dan Jumaat)

Ke-4

12 dan 13 Julai 2017 (Rabu dan Khamis)

Ke-5

6 dan 7 September 2017 (Rabu dan Khamis)

Ke-6

8 dan 9 November 2017 (Rabu dan Khamis)


Bank Negara Malaysia
23 Nov 2016

© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.