Cetak       Kongsi


Gantikan kad ATM anda untuk transaksi pembayaran yang lebih selamat

No Ruj : 12/16/06 19 Dec 2016 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Baru-baru ini terdapat laporan media dan paparan di media sosial bahawa pemegang kad akan dikenakan fi dan tidak boleh menggunakan kad ATM mereka untuk membuat pengeluaran wang tunai sekiranya mereka tidak menggantikan kad mereka dengan kad baharu yang berasaskan PIN. Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan bahawa ini adalah tidak benar.

Penggantian kad pembayaran berasaskan tandatangan sedia ada dengan kad baharu berasaskan PIN merupakan inisiatif industri yang bertujuan meningkatkan keselamatan penggunaan kad pembayaran di terminal semasa jualan (point-of-sale, POS) di cawangan perniagaan.

Bank Negara Malaysia juga ingin mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa inisiatif semasa perpindahan kepada kad pembayaran berasaskan PIN untuk transaksi di terminal POS adalah bagi meningkatkan keselamatan dan melindungi kepentingan pemegang kad. Oleh itu, orang ramai tidak harus menangguhkan penggantian kad mereka.

Orang ramai boleh menggantikan kad ATM dan kad debit mereka di bank masing-masing secara percuma. Kad ATM di Malaysia yang juga dapat digunakan sebagai kad debit membenarkan pemegang kad membuat bayaran di terminal POS. Orang ramai  yang belum menggantikan kad ATM mereka boleh terus menggunakan kad mereka yang sedia ada untuk membuat pengeluaran wang tunai di ATM. Berhubung dengan penggunaan kad ATM sebagai kad debit untuk transaksi pembelian di terminal POS, bank-bank dikehendaki memberikan notis yang sewajarnya dan tempoh masa yang mencukupi kepada pemegang kad untuk menggantikan kad sebelum mengambil langkah tidak menerima kad sedia ada untuk transaksi seperti itu.

Bank-bank telah secara beransur-ansur menggantikan kad berasaskan tandatangan pelanggan mereka dengan kad berasaskan PIN dan menyasarkan pelaksanaannya selesai menjelang 1 Januari 2017. Ini akan memberi pemegang kad tempoh selama enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan kad berasaskan PIN di terminal POS peniaga. Berkuat kuasa 1 Julai 2017, semua transaksi kad pembayaran yang dibuat menggunakan kad pembayaran yang dikeluarkan di dalam negeri di terminal POS di Malaysia hanya boleh diselesaikan secara memasukkan PIN. Pengesahan tandatangan tidak lagi akan digunakan.

Maklumat lanjut mengenai perpindahan kepada kad berasaskan PIN boleh didapati melalui laman sesawang Bank Negara Malaysia di http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_announcement&pg=en_announcement&ac=472&lang=en . Sekiranya anda mempunyai pertanyaan lanjut, sila hubungi Bank Negara Malaysia melalui saluran berikut:

  • BNMLINK, Blok D, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato’ Onn, 50480 Kuala Lumpur
  • BNMTELELINK
    • Tel: 1-300-88-5465
    • Faks: 03-2174 1515
    • E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
    • SMS: 15888

Bank Negara Malaysia
19 Dec 2016

© Bank Negara Malaysia, 2016. All rights reserved.