Cetak       Kongsi


Kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Laporan Terkini Mengenai Pasaran Kewangan Malaysia

No Ruj : 01/17/04 17 Jan 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) ingin menyampaikan maklumat terkini mengenai pasaran kewangan dan kesan daripada langkah-langkah yang diambil pada 2 Disember susulan laporan sebelumnya yang dibuat pada 28 Disember 2016.

Aktiviti dalam pasaran kewangan berjalan dengan baik dengan purata harian transaksi pasaran pertukaran asing tempatan berjumlah USD9.2 bilion dalam semua jenis transaksi pertukaran asing. Jumlah purata harian untuk transaksi pasaran semerta (spot) dan hadapan (forward) tempatan terutamanya bagi pasangan mata wang Ringgit Malaysia (MYR) telah melebihi USD2 bilion, sama dengan paras yang dicatat pada bulan Disember 2016. Nilai transaksi dalam pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) bagi ringgit terus menguncup.

Pasaran ringgit adalah stabil dalam keadaan ketidaktentuan global dan perkembangan di Amerika Syarikat apabila pasaran menjangkakan dasar yang terperinci oleh pentadbiran Trump yang baharu. Turun naik kadar pertukaran berkurang dengan purata pergerakan purata antara hari (intraday) menurun kepada kira-kira 61 mata berbanding dengan purata 82 mata pada bulan Disember tahun lepas. Perbezaan antara kadar belian dan jualan juga telah mengecil dengan ketara kepada 20 mata pada bulan Januari, seterusnya mengurangkan kos transaksi pertukaran asing. Paras ringgit boleh menjadi lebih stabil dengan pengimbangan semula yang berterusan antara permintaan dengan penawaran terhadap ringgit dan dengan berkurangnya kesan buruk dari pasaran NDF.

Bagi sektor perdagangan, transaksi pertukaran asing berhubung dengan eksport dan import barangan berjumlah USD10.7 bilion dengan purata harian sebanyak USD1.1 bilion diurusniagakan sepanjang tempoh dari 1 hingga 16 Januari 2017. Peratusan penukaran hasil perolehan eksport terus meningkat. Bagi sektor ekonomi secara amnya, turun naik kadar pertukaran yang telah berkurang dan spread yang semakin kecil antara kadar belian dan jualan telah mengurangkan kos transaksi penukaran. Interaksi dan perbincangan yang berterusan oleh Bank Negara Malaysia dengan pihak berkepentingan, khususnya syarikat dan pengeksport, telah berjaya mengurangkan bilangan pertanyaan yang diterima berhubung dengan inisiatif dan pelaksanaannya. Sejak pengumuman pelaksanaan langkah-langkah baharu ini, sebanyak 1,500 pertanyaan telah diterima dan 84% daripadanya telah diberikan maklum balas. Baki pertanyaan akan diselesaikan tidak lama lagi.

Bagi rangka kerja perlindungan nilai pengurus dana, dua lagi pengurus dana telah mendaftar dengan BNM sejak pengemaskinian terakhir dan jumlah aset di bawah pengurusan yang layak di bawah rangka kerja ini meningkat kepada RM44.4 bilion. Bank Negara Malaysia juga telah mengadakan perbincangan dengan dua persatuan pasaran kewangan antarabangsa yang mewakili pengurus dana dan bank-bank antarabangsa untuk memberikan penjelasan mengenai rangka kerja ini. Bank Negara Malaysia akan memudahkan proses pendaftaran untuk ahli mereka menyertai pasaran kewangan dalam negeri.

Bank Negara Malaysia dan FMC akan terus memantau kemajuan dan maklum balas orang ramai berhubung dengan inisiatif ini serta melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif-inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya. Ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur bagi memudahkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan
17 Januari 2017

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan

Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan keangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut:  http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_fxmm_mo&pg=en_fxmm_fmc&ac=451&lang=en

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.