Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 01/17/05 19 Jan 2017 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Khamis 19 Januari 2017

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia pada hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Aktiviti ekonomi di negara-negara maju utama telah meningkat. Di Asia, pertumbuhan disokong oleh permintaan dalam negeri dalam keadaan permintaan luaran yang semakin bertambah pulih. Bagi tahun 2017, ekonomi global diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan yang pantas sedikit. Prospek penggunaan dasar fiskal secara progresif dalam ekonomi maju boleh membawa kepada persekitaran dasar yang lebih seimbang yang akan menyokong pertumbuhan. Namun, peningkatan ketidakpastian dan risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan masih berterusan disebabkan oleh risiko perlindungan perdagangan, perkembangan geopolitik dan turun naik pasaran komoditi. Semua risiko ini juga boleh menyebabkan pasaran kewangan menjadi lebih tidak menentu.

Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang berterusan pada suku keempat 2016. Pada masa akan datang, aktiviti sektor swasta akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan. Penggunaan swasta dijangka disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan, di samping sokongan pelbagai langkah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna. Aktiviti pelaburan, meskipun sederhana, akan disokong oleh projek pembangunan infrastruktur yang sedang dijalankan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Dalam sektor luaran, jangkaan peningkatan eksport sedikit sebanyak akan menyokong pertumbuhan. Secara keseluruhan, ekonomi kekal pada landasan pertumbuhan seperti yang diunjurkan.

Inflasi keseluruhan mencatat purata 2.1% pada tahun 2016 dan dijangka meningkat pada tahun 2017, dalam keadaan prospek kenaikan harga minyak dunia. Faktor kos ini dijangka tidak akan menyebabkan kesan limpahan yang besar terhadap trend harga umum, memandangkan keadaan permintaan dalam negeri stabil. Oleh itu, inflasi teras, seperti yang diukur oleh indeks inflasi teras, dijangka kekal stabil.

Keadaan turun naik ringgit dan mata wang pasaran sedang pesat membangun yang lain berkurang sejak mengalami penyelarasan yang ketara pada akhir tahun 2016.  Pelaksanaan langkah-langkah pembangunan pasaran kewangan telah menyumbang kepada kestabilan pasaran pertukaran asing negara. Namun, keadaan tidak menentu dalam ekonomi global, persekitaran dasar dan perkembangan geopolitik mungkin menyebabkan berlakunya turun naik dalam pasaran kewangan dan pertukaran asing serantau.  Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia akan terus menyediakan mudah tunai bagi memastikan pasaran kewangan dapat berfungsi dengan teratur. Mudah tunai sistem perbankan kekal lebih daripada mencukupi. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh manakala pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah konsisten dengan kadar kegiatan ekonomi.

Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif  monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar untuk memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi teras yang stabil, serta disokong oleh pengantaraan kewangan dalam ekonomi yang terus kukuh.  Walaupun risiko ketidakseimbangan kewangan dapat dibendung, MPC akan memantau risiko ini bagi memastikan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan. MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
19 Jan 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.