Cetak       Kongsi


Bank Negara Malaysia Ambil Tindakan Penguatkuasaan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013

No Ruj : 01/17/07 24 Jan 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Susulan kepada siaran akhbar oleh Bank Negara Malaysia (Bank) pada 27 Disember 2016, Bank mengumumkan bahawa sebuah institusi kewangan telah dikenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak RM1,400,000 kerana gagal memberitahu Bank dengan segera mengenai suatu hasil siasatan audit yang penting berkaitan salah laku peniaga wangnya (dealer) yang terlibat dalam penetapan kadar pertukaran USD/MYR. Institusi kewangan tersebut telah membayar penalti yang dikenakan.

Institusi kewangan tersebut telah dipantau dengan rapi dan diarahkan untuk menangani kelemahan dalam kawalan dalamannya bagi memastikan pemakluman segera dibuat hasil daripada siasatan yang nyata serta mengkaji semula dasar,  prosedur dan amalan dalaman dan menyediakan mekanisme pengawasan yang mantap untuk menghalang kegiatan salah guna pasaran. Ini akan diperlengkap oleh laporan pematuhan dan audit secara berkala. Institusi kewangan ini telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk menangani kelemahan tersebut dan menghalang kegiatan itu daripada berulang.

Bank Negara Malaysia ingin memperingatkan semua institusi kewangan bahawa kegiatan manipulasi pasaran wang dan pertukaran asing adalah dilarang di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA). Institusi kewangan yang mengetahui tentang hasil siasatan sedemikian dikehendaki memberitahu Bank dengan segera seperti yang dikehendaki di bawah FSA. Bank Negara Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tersebut.

Bank Negara Malaysia terus memantau aktiviti pasaran dengan teliti bagi memastikan peserta pasaran tidak terlibat dalam kegiatan manipulasi pasaran wang dan pertukaran asing. Bank Negara Malaysia, dalam melaksanakan mandatnya di bawah undang-undang, bertanggungjawab untuk memastikan minat awam dan pelabur sebenar terpelihara setiap masa. 

Bank Negara Malaysia
24 Jan 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.