Cetak       Kongsi


Kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Laporan Terkini Mengenai Pasaran Kewangan Malaysia

No Ruj : 02/17/05 17 Feb 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Ringgit kekal stabil berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS), dengan pergerakannya sama seperti mata wang serantau lain dan mata wang utama yang kini sedang dipengaruhi perkembangan dalam pasaran kewangan AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve pada tahun 2017.

Pasaran pertukaran asing (FX) dalam negeri terus mencatat jumlah transaksi harian purata USD9.1 bilion dalam semua jenis transaksi FX. Jumlah transaksi purata harian bagi   pasangan mata wang Ringgit Malaysia (MYR) ialah USD5.2 bilion, dengan purata transaksi semerta (spot) dan hadapan (forward) sebanyak USD2.3 bilion sehari. Turun naik kadar pertukaran kekal stabil dengan pergerakan antara hari (intraday) purata mengecil kepada kira-kira 53 mata asas pada Januari 2017 daripada purata 82 mata asas pada Disember tahun lalu.

Pasaran bon disokong teguh oleh pelabur institusi dan institusi kewangan dengan bidaan primer mendapat nisbah bida kepada perlindungan (bid-to-cover) yang kukuh, melebihi 2 kali bagi tiga terbitan bon yang lalu. Pemegangan bon kerajaan jangka panjang oleh bukan pemastautin adalah sebanyak 29.6% daripada jumlah terkumpul bulan Januari 2017, sama seperti paras pemegangan bukan pemastautin bulan Januari tahun lepas. Jumlah pasaran sekunder juga mampan sebanyak RM3.6 bilion sehari.

Sejak pelaksanaan langkah-langkah untuk memajukan pasaran kewangan yang diumumkan pada 2 Disember 2016, FMC terus mendapati keadaan adalah bertambah baik seperti ditunjukkan oleh jumlah aktiviti dagangan dalam pasaran FX. Sebanyak USD37.0 bilion transaksi pertukaran asing berkaitan dengan eksport dan import barangan dijalankan pada Januari sehingga 15 Februari 2017. Data BNM juga menunjukkan imbangan yang bertambah baik antara aliran pertukaran asing eksport dan import, sejajar dengan lebihan perdagangan dalam akaun semasa. Sejak langkah-langkah berkenaan diperkenalkan, penukaran hasil perolehan eksport mengatasi import sebanyak USD372.9 juta pada bulan Disember 2016 dan USD741.3 juta pada bulan Januari 2017.

BNM dan FMC akan terus memantau kemajuan dan maklum balas orang ramai berhubung dengan inisiatif ini dan meneruskan interaksi dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya dan dapat mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur bagi memudahkan aktiviti perniagaan dalam menyokong ekonomi.

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan

Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan keangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_fxmm_mo&pg=en_fxmm_fmc&ac=451&lang=en

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.