Cetak       Kongsi


Bengkel “Perlindungan Nilai Pertukaran Asing Dalam Negeri bagi Pelabur Bukan Pemastautin”

No Ruj : 02/17/08 27 Feb 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Pada 24 Februari 2017, Bank Negara Malaysia (Bank) menyertai bengkel mengenai "Perlindungan Nilai Pertukaran Asing Dalam Negeri bagi Pelabur Bukan Pemastautin". Bengkel ini dianjurkan dengan kerjasama Asia Securities Industry dan Persatuan Pasaran Kewangan (ASIFMA) dan Persatuan Pasaran Kewangan Global (GFMA) dengan Bank CIMB sebagai hos. Kira-kira 60 peserta menyertai bengkel ini yang terdiri daripada bank-bank kustodian global, pengurus dana global, penyedia indeks dan pelabur institusi dari Hong Kong, Singapura, Thailand dan Malaysia. Mereka dihubungkan melalui persidangan video untuk membincangkan isu-isu dan pertanyaan mengenai langkah-langkah pembangunan pasaran kewangan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan pada 2 Disember 2016. Perbincangan tertumpu pada perlindungan nilai dalam negeri, mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing dan pengaturan operasi bagi pelaburan oleh pengurus dana.

Dalam bengkel ini, Bank memberikan perspektif mengenai mudah tunai pasaran pertukaran asing dalam negeri. Dari perspektif Bank, sejak empat tahun lepas, jumlah purata transaksi pertukaran asing keseluruhan adalah sekitar USD2.5 trilion. Jumlah pasaran harian ialah ukuran yang akan menunjukkan kemampuan peserta untuk menjalankan transaksi dalam pasaran pertukaran asing. Jumlah purata harian transaksi adalah sebanyak USD8.6 bilion, dengan jumlah dagangan semerta (spot) sejak 2016 berjumlah USD3.4 bilion, manakala transaksi swap dan hadapan masing-masing berjumlah USD4.7 bilion dan USD536 juta.

Bank menyatakan bahawa dengan pengenalan rangka kerja perlindungan nilai yang dinamik dan pasaran perlindungan nilai dalam negeri yang lebih jelas, jumlah transaksi dijangka meningkat dalam jangka panjang dan ini akan memberi jaminan mudah tunai pasaran yang berterusan kepada pelabur bukan pemastautin.

Para peserta juga membangkitkan kebimbangan terhadap paras mudah tunai yang rendah yang dilaporkan dalam pasaran pertukaran asing ringgit sejak langkah-langkah baharu diperkenalkan dan pengharaman dagangan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF). Bank mengambil maklum bahawa pasaran pertukaran asing dalam negeri sedang melalui tempoh penyesuaian dan Bank Pusat telah menjadi lebih aktif dalam membekalkan mudah tunai untuk kedua-dua belah pihak bagi menangani ketidakpadanan permintaan dan penawaran. Namun demikian, secara keseluruhan jumlahnya kekal, dengan lebih banyak aliran dua hala pengeksport dan pengimport pemastautin menyumbang ke arah mudah tunai pasaran di dalam negeri. Apabila langkah-langkah ini dilaksanakan sepenuhnya, pasaran boleh menjadi pengantara aliran tanpa perlu penglibatan aktif Bank dalam pasaran. 

Pengurus dana juga mendapatkan penjelasan mengenai peraturan berkaitan dengan perlindungan nilai di dalam negeri. Fokus perbincangan adalah terhadap perbezaan antara rangka kerja perlindungan nilai pasif dengan rangka kerja perlindungan nilai dinamik yang baru diperkenalkan. 

Bank Negara Malaysia menjelaskan bahawa di bawah rangka kerja  perlindungan nilai pasif, pengurus dana dibenarkan untuk melindung nilai berasaskan transaksi atau portfolio sehingga 100% daripada aset mereka yang dlaburkan. Pengurus dana boleh membuat penambahan secara berperingkat, menjual semula dan juga membuat penyelesaian bersih perlindungan nilai. Bank Negara Malaysia memberikan  beberapa contoh dokumen yang diterima di bawah rangka kerja ini. 

Di bawah rangka kerja perlindungan nilai dinamik yang baru diperkenalkan, selepas pengurus dana mendaftar, mereka boleh menguruskan kedudukan pertukaran asing mereka secara aktif, yakni sama ada membeli atau menjual pertukaran asing hadapan,  sehingga (sama ada kedudukan panjang atau pendek) 25% bersih daripada aset di bawah pengurusannya. Untuk memudahkan operasi, pengurus dana berdaftar tidak dikehendaki menunjukkan bukti dokumen apabila membuat transaksi pertukaran asing hadapan dengan bank di dalam negeri. Pemantauan terhadap pengurus-pengurus dana ini akan dilakukan oleh Bank melalui sistem pelaporan pertukaran asing sedia ada (ROMS). Selain itu, juga dinyatakan ialah pengurus dana mempunyai fleksibiliti untuk mendaftar pada peringkat syarikat atau atas asas dana individu. Sehingga kini, sebanyak 20 institusi di pasaran, yang terdiri daripada 39 dana, telah mendaftar dengan Bank.

Berhubung dengan dagangan selepas waktu rasmi, Bank menjelaskan bahawa bank di dalam negeri bebas menyebut harga pertukaran asing selepas pasaran Asia ditutup, dan mengambil maklum mengenai kemungkinan pasaran memerlukan sumber mudah tunai dalam negeri semasa tempoh dagangan dilanjutkan.

Perbincangan ini turut menyentuh Rangka Kerja Pejabat Luar Negeri Dilantik (Appointed Overseas Office, AOO) dan cara pengurus dana asing boleh memanfaatkan pengaturan AOO untuk mengakses pasaran kewangan dalam negeri. AOO kini merangkumi 19 negara di seluruh dunia dan maklumat lanjut boleh didapati melalui laman sesawang Bank Negara Malaysia pada 1 Mac 2017.

Pengurus dana mengalu-alukan sesi perbincangan ini dan pada masa yang sama ASIFMA dan GFMA bersedia menganjurkan sesi ini pada masa hadapan.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada peserta di Singapura, Hong Kong dan Bangkok, pengurus dana mendapati sesi tersebut amat menggalakkan, dengan banyak soalan yang baik telah ditanya dan jawapan yang diberikan juga jelas. Banyak peserta bersedia untuk menjalankan aktiviti perlindungan nilai di Malaysia setelah mendengar dengan jelas penerangan tentang semangat dan hala tuju dasar Bank Negara Malaysia. ASIFMA menyatakan rasa penghargaan kerana diberikan peluang untuk berkongsi pandangan, dengan kerjasama ahli kami dari Malaysia iaitu CIMB Group,” kata Encik Mark Austen, Ketua Pegawai Eksekutif ASIFMA dan GFMA.    

“Pasaran kami terus terbuka dan kami mengalu-alukan penyertaan pengurus dana asing yang berterusan dalam pasaran ringgit dalam negeri. Dengan langkah-langkah yang kami perkenalkan, kami memberikan lebih fleksibiliti kepada pelabur untuk melabur dan mengurus risiko pertukaran asing mereka. Bank Negara Malaysia amat menghargai kerjasama dengan pelbagai kumpulan industri dan kami mengalu-alukan kerjasama pada masa hadapan dengan industri kewangan untuk terus membangunkan pasaran kewangan dalam negeri,” kata Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila baca dokumen yang disertakan.

Bank Negara Malaysia
27 Feb 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.