Cetak       Kongsi


Keputusan yang Dicadangkan oleh MyCC Terhadap PIAM dan 22 Ahlinya

No Ruj : 03/17/01 01 Mar 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Kenyataan ini merupakan maklum balas bagi pertanyaan media berhubung dengan  keputusan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Malaysia Competition Commission, MyCC) terhadap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya mengenai pengaturan  kadar diskaun yang dipersetujui bagi harga alat ganti motor dan upah pekerja bagi kerja pembaikan kenderaan motor yang terlibat dalam kemalangan.

Keputusan yang dicadangkan ini amat dikesali kerana ia akan memberikan kesan kepada kepentingan orang ramai. Orang ramai kini mendapat manfaat daripada pengaturan yang dipersetujui bersama antara PIAM dengan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (Federation of Automobile Workshop Owners' Association of Malaysia, FAWOAM):

  1. Pengaturan ini ditetapkan sebagai respons kepada arahan yang jelas daripada Bank Negara Malaysia kepada syarikat insurans am pada tahun 2011 untuk menyelesaikan pertikaian antara bengkel dengan syarikat insurans berhubung dengan pembayaran tuntutan insurans untuk pembaikan kenderaan motor. Pertikaian tersebut telah mengakibatkan kelewatan yang berpanjangan dalam kerja pembaikan dan menyebabkan kesulitan yang besar kepada pengguna. Bank Negara Malaysia juga telah menerima aduan berhubung dengan kerja pembaikan yang kurang memuaskan. Pada tahun 2011 sahaja, Bank Negara Malaysia juga menerima lebih daripada 500 aduan berhubung dengan perkara ini sebelum pelaksanaan pengaturan. Aduan sedemikian kini telah berkurang sebanyak 50%.
     
  2. Pengaturan ini adalah perlu untuk mencerminkan kos pembaikan yang berpatutan dalam persekitaran premium insurans motor yang dikawal oleh tarif. Tuntutan yang tidak wajar, sekiranya tidak dikawal dengan berkesan, akan memerlukan pelarasan premium tarif yang ketara dan boleh memberi kesan kepada pengguna, atau mungkin menyebabkan syarikat insurans am menarik diri sepenuhnya daripada pasaran insurans motor. Kejadian ini pernah berlaku pada tahun 2012 yang berkaitan dengan tuntutan kecederaan anggota pihak ketiga motor apabila lebih satu juta kenderaan motor dirujuk kepada kumpulan insurans motor bagi mendapatkan perlindungan berisiko yang ditolak, disebabkan kesulitan yang dihadapi pengguna untuk mendapatkan insurans motor pada kadar tarif semasa. Bank Negara Malaysia kemudiannya mendapatkan kelulusan Kerajaan untuk melaksanakan semakan tarif secara berperingkat pada kadar kenaikan yang terhad. Tarif ini masih digunakan sehingga sekarang.

Seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2016, langkah-langkah sedang diambil oleh Bank Negara Malaysia untuk melaksanakan pembaharuan yang menyeluruh dalam pasaran insurans motor, termasuk liberalisasi tarif insurans motor secara beransur-ansur. Langkah ini bertujuan untuk menggalakkan pasaran insurans motor yang lebih kompetitif dan pada masa yang sama memastikan premium insurans motor adalah berpatutan untuk jangka panjang. Matlamat ini sukar untuk dicapai tanpa pengaturan yang sesuai untuk mengawal tuntuan yang tidak wajar dan palsu, yang sedang ditangani sebagai sebahagian daripada pembaharuan.

Bank Negara Malaysia yakin bahawa kepentingan awam dapat dipenuhi melalui pembaharuan terhadap pasaran insurans motor yang berterusan. Apa-apa keputusan untuk mengkaji semula pengaturan ini secara berasingan daripada pembaharuan ini tanpa mengambil kira kepentingan pengguna akan menghalang orang ramai daripada mendapat manfaat penyelesaian tuntutan insurans motor yang diselesaikan dengan harga yang berpatutan, dan mempunyai keyakinan terhadap kualiti kerja pembaikan. Bank Negara Malaysia akan terus mencari penyelesaian bagi isu ini demi kepentingan orang ramai.

Bank Negara Malaysia
01 Mar 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.