Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 03/17/02 02 Mar 2017 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Khamis 02 Mac 2017

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Aktiviti ekonomi di negara maju dan negara sedang pesat membangun terus bertambah baik.  Perdagangan global juga menunjukkan pemulihan.  Dalam persekitaran ini, ekonomi Asia telah mendapat manfaat daripada permintaan luaran yang lebih kukuh dalam keadaan kegiatan ekonomi dalam negeri yang mampan. Bagi tahun 2017, ekonomi global diunjurkan berkembang pada kadar yang pantas sedikit. Namun, masih terdapat risiko kepada pertumbuhan global yang berpunca daripada ancaman seperti perlindungan perdagangan, perkembangan geopolitik, turun naik pasaran kewangan yang lebih ketara dan perkembangan negatif dalam harga komoditi utama.

Meskipun persekitaran global dan dalam negeri adalah mencabar, ekonomi Malaysia berkembang 4.2% pada tahun 2016. Pertumbuhan disokong oleh aktiviti sektor swasta, dengan sokongan tambahan daripada eksport bersih yang kembali positif. Momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada tahun 2017. Dengan pertumbuhan permintaan dalam negeri yang mampan, sumbangan sektor luaran yang lebih positif akan menjadikan prestasi ekonomi Malaysia lebih baik.

Inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi pada tahun 2017, mencerminkan terutamanya kesan pindahan kenaikan harga minyak global ke atas harga bahan api runcit dalam negeri. Inflasi keseluruhan dijangka secara relatif kekal tinggi pada separuh pertama tahun 2017 sebelum menurun semula.  Walau bagaimanapun, kadar inflasi keseluruhan dalam negeri yang diunjurkan akan bergantung pada trend masa hadapan harga minyak global yang masih sangat tidak menentu. Inflasi yang didorong oleh kos ini dijangka tidak akan memberikan kesan yang ketara kepada trend harga yang lebih meluas, memandangkan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil. Inflasi asas dijangka meningkat dengan sederhana.   

Ringgit terus stabil bersama-sama mata wang pasaran sedang pesat membangun lain. Pelaksanaan langkah pembangunan pasaran kewangan telah memberikan kesan positif kepada pasaran kewangan domestik. Mudah tunai sistem perbankan kekal mencukupi. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh serta pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah selaras dengan kadar pertumbuhan aktiviti ekonomi. 

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari adalah akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
02 Mar 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.