Cetak       Kongsi


Kerjasama Strategik antara Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

No Ruj : 03/17/05 13 Mar 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan meningkatkan kerjasama strategik dalam usaha mencegah jenayah kewangan, rasuah dan pengelakan pada cukai. 

Kerjasama ini telah diputuskan melalui mesyuarat yang diadakan antara Gabenor BNM, Datuk Muhammad bin Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Sabin Samitah pada hari ini

Usaha yang diambil oleh ketiga-tiga agensi ini bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik untuk mengekang jenayah kewangan, terutamanya yang melibatkan rasuah dan pengelakan pada cukai. Ketiga-tiga agensi menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan institusi kewangan tidak dijadikan saluran untuk menyalurkan hasil yang diperoleh daripada jenayah kewangan.

Gabenor Muhammad berkata, “BNM menyambut baik komitmen dan kerjasama dengan LHDNM dan SPRM untuk mencegah jenayah kewangan. Kerjasama ketiga-tiga agensi ini akan membendung penyaluran hasil perolehan wang haram dan transaksi haram melalui sistem kewangan. Perkara ini penting bagi mengekalkan integriti dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan Malaysia.”

“Kerjasama sebegini membolehkan ketiga-tiga agensi bertukar-tukar maklumat berhubung dengan siasatan serta memperkukuh amalan terbaik setiap agensi memandangkan masing-masing mempunyai cabaran tersendiri untuk membanteras jenayah kewangan, rasuah dan pengelakan pada cukai. Pertemuan ini diadakan untuk memperteguh dan mempamerkan inisiatif dan hasrat ketiga-tiga agensi untuk menangani sogokan dan rasuah di samping meningkatkan kesedaran orang ramai tentang jenayah kewangan.” kata Datuk Dzulkifli Ahmad.

Datuk Sabin Samitah pula menyatakan, “LHDNM akan memberikan komitmen penuh terhadap kerjasama dengan BNM dan SPRM. Kerjasama strategik ini merupakan langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan ketirisan cukai akibat jenayah kewangan. Kami sesungguhnya yakin bahawa sinergi antara ketiga-tiga agensi akan membawa manfaat besar demi negara yang tercinta.”  

Sinergi daripada gabungan dan kerjasama antara ketiga-tiga agensi akan memperkukuh sistem kewangan dan meningkatkan hasil pendapatan negara serta membina negara yang bebas daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.            

Bank Negara Malaysia
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
13 Mac 2017

Mesyuarat kerjasama strategik antara [L-R] Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, Gabenor BNM, Datuk Muhammad bin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Sabin Samitah. 

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.