Cetak       Kongsi


Kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Perbincangan Meja Bulat Mengenai Pembangunan Pasaran Bon

No Ruj : 03/17/06 14 Mar 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Jawatankuasa Pasaran Kewangan telah mengadakan perbincangan Meja Bulat mengenai Pembangunan Pasaran Bon Domestik pada 10 Mac 2017 di Sasana Kijang. Tujuan perbincangan ini adalah untuk menilai perkembangan pasaran dan memberi maklumat terkini serta membincangkan inisiatif untuk terus membangunkan pasaran bon Malaysia. Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan.

Kira-kira 30 peserta yang terdiri daripada pengurus dana domestik dan institusi, penerbit sukuk dan bon, pengurus aset swasta dan awam, agensi penarafan dan Ketua Perbendaharaan dari institusi kewangan telah membincangkan prospek dan pelbagai isu berkenaan pembangunan pasaran bon domestik. Perkara utama yang dibincangkan ialah mudah tunai pasaran bon, pemegangan bon Malaysia oleh bukan pemastautin, pengenalan inisiatif baharu serta pemantapan ketelusan dan pengawasan.

Mudah tunai pasaran bon Malaysia

Pasaran bon Malaysia terus berkembang dengan nilai terkumpul semasa berjumlah RM1.2 trilion atau 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan kadar pertumbuhan tahunan purata 10.5 peratus bagi tempoh sepuluh tahun yang lalu. Pada tahun 2017, bon bersih bernilai RM80 bilion dijangka diterbitkan. Saiz pasaran bon Malaysia secara relatif kepada KDNK kekal sebagai yang terbesar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di Asia. Terdapat juga pelbagai jenis pelabur dalam pasaran bon Malaysia, yang terdiri daripada kumpulan wang pencen, syarikat pengurusan aset, bank-bank, syarikat insurans dan pelabur bukan pemastautin.

Peserta perbincangan Meja Bulat terus positif terhadap pasaran bon domestik kerana pasaran ini kekal berdaya tahan meskipun menghadapi pelbagai episod ketidaktentuan dalam pasaran kewangan serantau dan global dalam tempoh kebelakangan ini. Mudah tunai dalam pasaran sekunder bertambah baik dengan kehadiran pelabur domestik serta inisiatif memajukan pasaran secara giat oleh beberapa peniaga utama yang disokong oleh Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia. Spread sebut harga pembelian dan penjualan bon kini secara relatif semakin kecil antara 20 hingga 50 sen berbanding dengan harga tertinggi RM2 semasa tempoh mudah tunai yang rendah selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Pemegangan bukan pemastautin dalam pasaran bon beransur-ansur kurang

Para peserta Meja Bulat membincangkan isu berkaitan dengan penyelarasan semula portfolio oleh pengurus dana bukan pemastautin susulan pilihan raya presiden AS baru-baru ini dan pelaksanaan langkah-langkah kontrak hadapan tanpa serahan (non-deliverable forward,  NDF) oleh Bank Negara Malaysia.

Pada tahun 2016, pemegangan bukan pemastautin adalah pada paras tertinggi 34.7 peratus dan paras ini menurun (selepas pilihan raya presiden AS dan selepas pelaksanaan langkah-langkah NDF oleh Bank) kepada 28.7 peratus pada akhir bulan Februari 2017. Para peserta Meja Bulat juga mengambil maklum bahawa penurunan ini sebahagian besarnya adalah daripada kertas jangka pendek yang terutamanya disebabkan oleh pelupusan kontrak NDF oleh pelabur institusi kewangan bukan pemastautin. Pemegangan bukan pemastautin bagi tempoh matang kurang daripada tiga tahun berkurang sebanyak RM15.2 bilion sejak bulan November 2016 hingga kini. Sebanyak 70 peratus daripadanya adalah berikutan pengurangan pemegangan bon Kerajaan oleh bukan pemastautin. Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa butiran data selanjutnya menunjukkan bahawa sebahagian besar pengurangan kertas jangka pendek ini adalah terdiri daripada pemegangan bukan pemastautin dengan tempoh matang kurang daripada satu tahun. Aliran jangka pendek jenis ini telah memberikan kesan ketidakstabilan, terutamanya apabila ia bertindak balas kepada perkembangan global dan serantau. Walau bagaimanapun, peserta perbincangan Meja Bulat berpendapat bahawa pasaran mampu bertahan dan bertindak balas terhadap perubahan dalam pemegangan bukan pemastautin jangka pendek. Ini terbukti melalui lelongan sekuriti hutang Kerajaan yang mencatat nisbah bida kepada lindungan purata yang kukuh sebanyak 2.5 kali pada tahun 2017, yang melepasi purata dua tahun sebanyak 2.3 kali. Kadar hasil pasaran bon sekunder juga kembali pulih sebanyak kira-kira 43 peratus berbanding dengan paras tertingginya pada bulan November 2016.

Perbincangan Meja Bulat juga membincangkan sama ada pelabur atau aliran sedemikian akan kembali ke pasaran bon Malaysia. Memandangkan sebahagian besar aliran dana ini didorong oleh arbitraj jangka pendek yang memanfaatkan pasaran NDF, kebarangkalian perkara ini berlaku lagi adalah tipis. Pada masa hadapan, tahap penyertaan pelabur bukan pemastautin akan menjadi lebih rendah tetapi stabil.

Pasaran bon korporat kekal kondusif

Perbincangan Meja Bulat juga membincangkan prospek terbitan bon korporat di Malaysia. Penerbit korporat telah menjauhkan diri daripada pasaran bon pada akhir tahun 2016 berikutan ketidaktentuan dalam keseluruhan pasaran kewangan. Namun begitu, kadar hasil bon korporat kini stabil. Dari tempoh bulan Januari hingga Mac 2017, pasaran bon korporat lebih kondusif bagi penerbit bon, lantas memperoleh sebanyak RM8 billion dan beberapa penerbit korporat sedang merancang untuk memasuki pasaran pada tahun 2017. Perbincangan Meja Bulat juga membincangkan keperluan untuk membangunkan pasaran Swap  Mungkir Kredit (Credit Default Swap, CDS) dan Swap Kadar Faedah (Interest Rate Swap, IRS) dan juga mekanisme rujukan harga alternatif untuk memudahkan penerbit dan pelabur dalam proses penentuan harga. Penyertaan dan komitmen yang berterusan oleh pengurus utama selepas tamatnya terbitan, juga akan menjadikan pasaran bon korporat sekunder lebih aktif. Perbincangan Meja Bulat juga menumpukan pada isu permintaan bagi bon tidak berkadar (unrated) dan bon bernilai rendah. Satu idea yang dikemukakan ialah keperluan untuk mewujudkan dana tujuan khas (special purpose funds) yang boleh dilaburkan dalam pasaran ini.

Meningkatkan keluasan pasaran untuk menambah mudah tunai

Perbincangan Meja Bulat juga mengkaji penggunaan repo sebagai alat pengurusan mudah tunai alternatif dan instrumen pendanaan bagi institusi kewangan. Jumlah dagangan tahunan semakin meningkat sejak Bank Negara Malaysia meliberalisasikan operasi jualan singkat dan repo berbalik (reverse repo) pada tahun 2015. Jumlah dagangan repo purata ialah RM195 bilion setahun sejak tahun 2012. Peserta Meja Bulat menyatakan perlunya untuk mengkaji semula rangka kerja pengawalseliaan sedia ada untuk menarik pelabur yang lebih pelbagai ke dalam pasaran repo.

Perbincangan Meja Bulat juga membincangkan tentang cara untuk menambah mudah tunai pasaran melalui pengenalan lebih banyak instrumen perlindungan nilai. Ini termasuk mengembangkan lagi rangka kerja jualan singkat (short selling) serta meningkatkan penyertaan dalam pasaran repo, swap bon dan IRS. Pembangunan seterusnya bagi perlindungan nilai dalam negeri akan melengkapi mudah tunai pasaran sekunder, khususnya pada bahagian lebih panjang keluk hasil.

Para peserta Meja Bulat ini juga membincangkan pembangunan produk pelaburan bon bagi pelabur runcit dan mengambil maklum akan kepentingan mendidik pelabur runcit mengenai asas-asas pelaburan dalam bon.

Mekanisme pengawasan yang dipertingkat untuk membantu pengurusan risiko yang lebih baik

Perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai keperluan meningkatkan mekanisme pengawasan mikro dan makro supaya menjadi lebih efektif. Salah satu inisiatif utama adalah bagi institusi kewangan dan pelabur mempunyai akaun berasingan bagi pelaburan mereka. Ini akan membolehkan urus niaga bon dan pemegangan portfolio dipantau secara masa nyata. Ini juga akan membolehkan analisis yang lebih terperinci dan pengumuman data makro atau agregat kepada pasaran mengenai trend pelaburan yang penting. Para peserta menyedari dan menerima baik usaha pengawal selia untuk menjadi lebih telus terutamanya berhubung dengan aktiviti pasaran bon.

Perbincangan dan interaksi dengan penyedia Indeks Global

Para peserta perbincangan Meja Bulat juga mengambil maklum akan kepentingan untuk berbincang dan berinteraksi dengan penyedia indeks global dan memberikan maklumat terkini dan tepat mengenai pasaran bon domestik bagi meningkatkan pemahaman mengenai keadaan pasaran. Para peserta akan meneruskan usaha untuk berbincang dan berinteraksi dengan penyedia indeks serta pelabur bukan pemastautin.

Para peserta mendapati perbincangan Meja Bulat ini amat bermanfaat dan memberikan pengalaman positif serta menyokong perancangan untuk mengadakan perbincangan yang sama dalam masa terdekat.

"Perbincangan dan interaksi secara proaktif dengan pihak berkepentingan pasaran bon pasti akan memberikan sumbangan positif kepada pembangunan pasaran bon domestik. Kebimbangan penerbit berhubung dengan penentuan harga telah dibincangkan dan usaha untuk menambah baik rujukan harga yang sedia ada bagi menggalakkan proses penentuan harga yang lebih kukuh dan mantap juga telah dibincangkan. Kami mengalu-alukan kerjasama dengan peserta pasaran dan pengawal selia untuk membangunkan swap mungkir kredit dan rujukan data alternatif untuk menggalakkan penentuan harga yang berterusan dan pada masa yang sama meningkatkan mudah tunai dalam pasaran sekunder,” kata Datuk Chung Chee Leong, Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Bhd .

"Perbincangan Meja Bulat ini merupakan platform yang baik dan pandangan peserta pasaran telah diambil secara konstruktif untuk membangunkan lagi pasaran bon. Perbincangan ini juga telah mempertemukan pengawal selia, institusi kewangan dan pelabur untuk bersama-sama menyuarakan pandangan mereka dan meluaskan spektrum isu yang dibincangkan," kata Michael Chang, Ketua Pegawai Pelaburan RHB Asset Management.

"Fasa pembangunan pasaran bon dalam negeri seterusnya memerlukan sokongan dan komitmen penerbit, pelabur dan pencetus pasaran untuk meningkatkan mudah tunai, menambah keluasan pasaran kewangan dan menyokong terbitan bon kerajaan dan korporat. Tumpuan harus diberikan pada mempelbagaikan asas pelabur, mempunyai komposisi pelabur yang stabil dan meningkatkan ketelusan yang seterusnya akan mempertingkatkan kestabilan pasaran,” kata Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia.

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan

Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan keangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_fxmm_mo&pg=en_fxmm_fmc&ac=451&lang=en

Jawatankuasa Pasaran Kewangan
14 Mac 2017

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.