Cetak       Kongsi


Operasi Serbuan Bersama Terhadap Rangkaian Perniagaan Perkhidmatan Wang Haram

No Ruj : 03/17/13 30 Mar 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Satu operasi serbuan bersama telah dijalankan baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (National Revenue Recovery Enforcement Team, NRRET), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen terhadap rangkaian pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram.

Sebanyak 14 premis, termasuk tiga premis yang dikendalikan oleh pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen, di Kuala Lumpur dan Selangor telah diserbu. Untuk membantu siasatan, dokumen-dokumen yang berkenaan telah dirampas dan akaun bank dibekukan. Semasa operasi serbuan dijalankan, 12 suspek termasuk lapan warganegara asing telah ditahan dan direman, manakala 23 individu lagi disoal siasat. Operasi serbuan bersama ini telah menyebabkan wang tunai (ringgit dan mata wang asing), wafer emas (gold wafer) dan kenderaan mewah yang bernilai lebih daripada RM18 juta dirampas.

Premis-premis ini diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dah Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Mana-mana individu yang menjalankan aktiviti perniagaan perkhidmatan wang, seperti pengurupan wang dan pengiriman wang tanpa lesen adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLATFA dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Orang ramai dinasihati untuk tidak membuat apa-apa urusan pengurupan wang atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram. Mana-mana individu yang berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram melakukannya atas risiko sendiri, dan tindakan undang-undang yang berkenaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan juga boleh dikenakan ke atas mereka. Orang ramai hendaklah berurusan hanya dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen sahaja yang disenaraikan di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).

Bank Negara Malaysia
30 Mar 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.