Cetak       Kongsi


Pencapaian Persetujuan Perundingan antara Bank Negara Malaysia dengan Bangko Sentral ng Pilipinas di bawah ABIF

No Ruj : 04/17/02 06 Apr 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia dan Bangko Sentral ng Pilipinas hari ini telah menandatangani Pengisytiharan Pencapaian Persetujuan Perundingan di bawah Rangka Kerja Integrasi Perbankan (ABIF). Pengisytiharan ini ditandatangani oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Muhammad bin Ibrahim dan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, Amando M. Tetangco Jr.  dalam satu acara berasingan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor ASEAN ke-3 di Mactan, Pulau Cebu, Filipina.

Berlandaskan Perjanjian (Heads of Agreement) yang ditandatangani pada 14 Mac 2016, Pengisytiharan ini menandakan pencapaian persetujuan perundingan antara Bank Negara Malaysia dengan Bangko Sentral ng Pilipinas. Perundingan ini merangkumi antaranya, bilangan Bank ASEAN Bertauliah (Qualified ASEAN Banks, QAB) untuk beroperasi di kedua-dua negara, bentuk kehadiran dan fleksibiliti operasi dalam skop aktiviti perbankan, cawangan dan bentuk saluran penyampaian lain. Komitmen ini merupakan sebahagian daripada Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan yang akan dinyatakan dalam Jadual Komitmen Khusus negara masing-masing dan akan berkuat kuasa selepas negara tersebut mendapat kelulusan dan melalui proses ratifikasi di negara sendiri.

Pengisytiharan ini, yang merupakan pengaturan ABIF yang kedua oleh Bank Negara Malaysia susulan perjanjian pelbagai hala dengan Otoritas Jasa Keuangan pada bulan Ogos 2016, menandakan komitmen Malaysia yang berterusan untuk mengukuhkan integrasi kewangan ASEAN. Dengan tercapainya persetujuan perundingan ini, Bank Negara Malaysia dan Bangko Sentral ng Pilipinas mengalu-alukan kehadiran QAB kedua-dua negara bagi memudahkan perdagangan merentas sempadan dan pelaburan di rantau ini

Bank Negara Malaysia
06 Apr 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.