Cetak       Kongsi


Kumpulan Penggerak Teknologi Kewangan (FTEG) mempelawa orang ramai untuk menyertai Fintech Hacks

No Ruj : 04/17/06 17 Apr 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Kumpulan Penggerak Teknologi Kewangan (Financial Technology Enabler Group, FTEG) mengalu-alukan cadangan idea daripada orang ramai untuk menambah baik sektor kewangan melalui penggunaan inovasi dan teknologi. Orang ramai yang ingin memberikan cadangan idea mereka boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya melalui inisiatif Fintech Hacks. Inisiatif ini bertujuan untuk mengenal pasti punca kelemahan dalam penyediaan dan penggunaan perkhidmatan kewangan, selain mendapatkan idea menerusi aplikasi teknologi bagi menangani isu tersebut.

Pelawaan untuk menyertai Fintech Hacks ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank Negara Malaysia untuk melibatkan orang ramai dalam memberikan idea dan berkongsi pengalaman mereka bagi memacu dan memberikan inspirasi kepada pembangunan penyelesaian fintech yang berpotensi membawa perubahan yang nyata dalam cara perkhidmatan kewangan disediakan kepada pengguna di Malaysia.

Pelawaan untuk penyertaan ini akan dibuka sehingga 31 Mei 2017 dan cadangan boleh dikemukakan melalui laman sesawang FTEG di www.myfteg.com, Facebook, Instagram dan Twitter - #fintechhacks.

Mengenai Kumpulan Penggerak Teknologi Kewangan (FTEG)

FTEG ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Jun 2016 dan merupakan jawatankuasa fungsian bersilang (cross-functional) yang bertanggungjawab terhadap perumusan dan penambahbaikan dasar pengawalseliaan bagi memudahkan penggunaan inovasi teknologi dalam industri perkhidmatan kewangan Malaysia. FTEG yang dipengerusikan oleh Encik Aznan Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan, berperanan sebagai pusat perhubungan khusus untuk pertanyaan berkaitan dengan fintech, termasuk hal-hal pengawalseliaan berhubung dengan penggunaan fintech dalam industri perkhidmatan kewangan.

FTEG merupakan sebahagian daripada komitmen Bank Negara Malaysia untuk menyokong usaha-usaha inovasi yang akan meningkatkan mutu, kecekapan dan akses kepada perkhidmatan kewangan di Malaysia. Dapatkan maklumat lanjut mengenai FTEG di www.myfteg.com.

Bank Negara Malaysia
17 Apr 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.