Cetak       Kongsi


Pelantikan Semula Dua Anggota Luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia

No Ruj : 04/17/08 19 Apr 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan semula Dato’ Seri Dr. Noor Azlan bin Ghazali and Dr. Yeah Kim Leng sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 April 2017. Akta Bank Negara Malaysia 2009 memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari. Jawatankuasa Dasar Monetari bertanggungjawab untuk merumuskan dasar monetari dan mengendalikan operasi dasar monetari. Dasar monetari dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi oleh Bank Negara Malaysia, seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Dato’ Seri Dr. Noor Azlan merupakan Naib Canselor dan Profesor Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau memulakan kerjayanya  sebagai seorang pensyarah univeristi hampir 30 tahun yang lalu. Dato’ Seri Dr. Noor Azlan merupakan pakar dalam bidang ekonomi perniagaan dan kewangan. Sebelum ini, beliau pernah dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri (2006 - 2009) untuk berkhidmat, antara lain, sebagai Ketua Pasukan Perunding Khas berkenaan Globalisasi untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Pengarah Institut Pembangunan Malaysia (Malaysian Development Institute, MDI) di Unit Perancang Ekonomi (Economic Planning Unit, EPU). Dato’ Seri Dr. Noor Azlan berkelayakan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Awam (Masters in Public Administration, MPA) daripada Universiti Harvard, AS.

Dr. Yeah Kim Leng ialah Profesor Ekonomi di Sunway University Business School dan pernah berkhidmat sebagai Dekan Sekolah Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia. Beliau juga merupakan Pengarah bagi Program Pengajian Ekonomi di Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah (Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia), Felo Kanan Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs (Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development) dan Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia. Sebelum ini, Dr. Yeah pernah memegang jawatan Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan di RAM Holdings Bhd, dan berkhidmat di sana selama dua dekad (1994-2014). Sebelum bertugas di RAM, beliau merupakan penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia). Dr. Yeah berkelayakan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pertanian dan Sumber Ekonomi dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hawaii, AS.

Pelantikan semula Dato’ Seri Dr. Noor Azlan bin Ghazali dan Dr. Yeah Kim Leng akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama yang berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari. Dengan pelantikan semula ini, Jawatankuasa Dasar Monetari akan dianggotai oleh lapan orang ahli.

Anggota Jawatankuasa Dasar Monetari

  1. Gabenor Muhammad bin Ibrahim
  2. Timbalan Gabenor Dr. Sukudhew Singh
  3. Timbalan Gabenor Shaik Abdul Rasheed bin Abdul Ghaffour
  4. Penolong Gabenor Norzila binti Abdul Aziz
  5. Penolong Gabenor Abu Hassan Alshari bin Yahaya
  6. Penolong Gabenor Adnan Zaylani bin Mohamad Zahid
  7. Profesor Dato’ Seri Dr. Noor Azlan bin Ghazali
  8. Profesor Dr. Yeah Kim Leng

Bank Negara Malaysia
19 Apr 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.