Cetak       Kongsi


Tindakan penguatkuasaan bersama terhadap skim kewangan haram

No Ruj : 05/17/02 04 May 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia amat memandang berat terhadap skim kewangan haram dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan penipuan kewangan dan yang menggalakkan skim kewangan haram sedemikian.
 
Mereka yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas, termasuk undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia, Kanun Keseksaan, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Di bawah undang-undang, tindakan juga boleh diambil terhadap pelabur yang dengan sengaja menggalakkan dan menyertai skim-skim haram tersebut.
 
Sehubungan dengan itu, satu tindakan penguatkuasaan bersama terhadap skim kewangan haram akan diambil melalui inisiatif antara agensi yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara di bawah Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
 
Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai skim yang menjanjikan pulangan, kadar faedah atau keuntungan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah. Orang ramai perlu memastikan yang mereka tidak menjadi mangsa skim-skim ini dengan merujuk kepada Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Peringatan ini mengandungi senarai syarikat yang tidak diberikan kebenaran atau diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia. Peringatan ini  juga menyediakan maklumat mengenai ciri-ciri lazim skim kewangan haram. 
 
Institusi kewangan dan penyedia perniagaan perkhidmatan wang telah diarahkan untuk mempertingkatkan pemantauan dan pengesanan terhadap akaun pelanggan yang digunakan oleh mereka yang melakukan penipuan kewangan, dan terus mengukuhkan dasar dan proses usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) bagi mengenal pasti transaksi dan aliran dana antara akaun bank yang mencurigakan. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan institusi kewangan daripada menjadi saluran yang membantu skim-skim haram sedemikian. 

Bank Negara Malaysia
04 May 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.