Cetak       Kongsi


Kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Maklumat Terkini Pasaran Kewangan

No Ruj : 05/17/03 05 May 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Siri kedua inisiatif untuk membangunkan pasaran kewangan dalam negeri, yang mula berkuat kuasa pada 2 Mei, memberikan fleksibiliti tambahan kepada pengurus dana dan syarikat korporat untuk menguruskan dedahan pertukaran asing mereka. Selain itu, pemastautin kini boleh menjalankan aktiviti jualan singkat untuk menguruskan dedahan kadar faedah mereka. Bersama-sama dengan perkembangan pasaran yang lebih meluas, yang menyaksikan minat lebih kukuh terhadap aset kewangan pasaran sedang pesat membangun, ringgit diurusniagakan pada 4.32 berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (USD), berbanding 4.40 sebelum ini.

Pasaran pertukaran asing dalam negeri terus mencatat jumlah harian purata sebanyak USD10.0 bilion. Daripada jumlah itu, jumlah urus niaga bagi pasangan mata wang Ringgit Malaysia (MYR) meningkat kepada purata USD6.3 bilion sehari bagi bulan April (akhir bulan Februari 2017: USD5.2 bilion). Seterusnya, purata transaksi spot dan hadapan ialah USD2.5 bilion sehari. Kadar pertukaran kekal stabil dengan turun naik tersirat 1 bulan USD/MYR mencatat purata lebih rendah pada 4.5%. Pergerakan antara hari (intraday) mencatat purata harian 74 mata, manakala purata bagi spread bida-tawar ialah 24.3 mata asas sejak akhir bulan Februari 2017.

Pasaran bon Malaysia terus berdaya tahan. Dua lelongan utama terakhir bon kerajaan mencatat nisbah bida kepada lindungan yang kukuh, melebihi 2 kali. Dalam pasaran bon sekunder, jumlah dagangan harian purata meningkat kepada RM4.2 bilion. Pemegangan kertas kerajaan oleh bukan pemastautin ialah 25.3% pada akhir bulan April 2017.  Sejak bulan April, bukan pemastautin mencatat aliran masuk portfolio ke dalam MGS dengan tempoh matang kurang daripada 3 tahun dan melebihi 5 tahun. Susulan permintaan pasaran yang lebih tinggi, kadar hasil tanda aras MGS menurun sedikit antara 8 hingga 32 mata asas bagi semua keluk kadar hasil. Pada akhir bulan April 2017, sebanyak 34 pengurus dana telah berdaftar di bawah rangka kerja perlindungan nilai pengurus dana, dengan nilai aset di bawah pengurusan (asset under management, AUM) yang layak adalah sebanyak RM56.5 bilion.

Bagi sektor perdagangan, sebanyak USD105 bilion transaksi pertukaran asing yang berkaitan dengan eksport dan import barangan telah dicatat. Data menunjukkan bahawa aliran pertukaran asing antara eksport dengan import adalah lebih seimbang, sejajar dengan lebihan perdagangan dalam akaun semasa. Hasil eksport yang ditukarkan (export conversion) melebihi import sebanyak USD919 juta.

FMC juga ingin memberikan status terkini Program Instrumen Deposit Boleh Niaga Runcit (Retail Negotiable Instruments of Deposit, RNID) yang diperkenalkan pada bulan Oktober 2016 yang bertujuan untuk memanfaatkan simpanan pelabur runcit. Empat bank telah menerbitkan RNID sebanyak RM55.4 juta pada akhir bulan Mac 2017. Ini telah memperluas rangkaian produk yang ditawarkan kepada pelanggan perbankan runcit. FMC menjangkakan trend positif ini akan berterusan dan lebih banyak bank menerbitkan RNID dalam bulan-bulan akan datang sebagai instrumen simpanan berdaya maju. Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan rangkuman kewangan dan celik kewangan dalam kalangan orang ramai.

Untuk maklumat lanjut dan pemahaman mengenai RNID, sila layari Financial Market microsite di www.bnm.gov.my

Jawatankuasa Pasaran Kewangan
5 Mei 2017

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan

Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_fxmm_mo&pg=en_fxmm_fmc&ac=451&lang=en

Bank Negara Malaysia
05 May 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.