Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 05/17/06 12 May 2017 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Jumaat 12 Mei 2017

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.00 peratus.

Ekonomi global terus berkembang. Aktiviti perindustrian dan perdagangan global semakin meningkat. Pertumbuhan juga menjadi lebih sekata antara ekonomi maju dengan ekonomi sedang pesat membangun. Penunjuk ekonomi pula memberi gambaran bahawa prospek ekonomi global akan terus bertambah baik. Dalam kalangan ekonomi maju, peningkatan semula pelaburan dijangka memberikan dorongan tambahan kepada aktiviti ekonomi, manakala pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun dijangka disokong oleh aktiviti dalam negeri yang mampan dan permintaan luar negeri yang lebih kukuh. Walau bagaimanapun, masih terdapat pelbagai risiko  kepada pertumbuhan ekonomi global seperti perlindungan perdagangan, perkembangan geopolitik, dan turun naik harga komoditi. Risiko ini juga boleh mencetuskan semula ketidaktentuan pasaran kewangan.  

Bagi Malaysia, momentum pertumbuhan sejak separuh kedua tahun 2016 dijangka bertambah kukuh pada suku pertama 2017, dan dijangka kekal sepanjang tahun. Pertumbuhan ekonomi  dijangka akan dipacu terutamanya oleh aktiviti permintaan dalam negeri, sealiran dengan keadaan pertumbuhan upah dan pekerjaan yang berterusan, serta pelaksanaan projek-projek pelaburan yang sedang dan akan dijalankan. Untuk sektor luaran, berikutan pertumbuhan global yang bertambah baik, eksport dijangka akan berkembang dengan lebih kukuh dan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Kadar inflasi pada keseluruhannya meningkat kepada 4.3% pada suku pertama 2017 selaras dengan jangkaan MPC. Kadar inflasi yang lebih tinggi ini mencerminkan, sebahagian besarnya  kesan daripada pindahan kenaikan harga minyak dunia dan gangguan bekalan sementara yang menyebabkan kenaikan harga makanan. Kadar inflasi yang lebih tinggi ini dijangka menurun pada separuh kedua tahun 2017. Walau bagaimanapun, trend kadar inflasi dalam negeri ini akan bergantung pada harga minyak dunia yang sangat tidak menentu. Inflasi dorongan kos ini dijangka tidak akan memberikan kesan yang ketara kepada trend harga yang lebih meluas, memandangkan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka hanya meningkat dengan sederhana.

Ringgit terus stabil. Mudah tunai sistem perbankan kekal mencukupi. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, dan pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah selaras dengan kadar perkembangan aktiviti  ekonomi.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari adalah akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
12 May 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.