Cetak       Kongsi


Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP (Mesyuarat Eksekutif Bank-Bank Pusat Asia Timur dan Pasifik) Ke-22

No Ruj : 05/17/07 16 May 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP (Executives’ Meeting of East Asia-Pacific Central Banks, EMEAP) ke-22 telah diadakan di Auckland, New Zealand pada 15 Mei 2017. Sebanyak 11 anggota bank pusat dan pihak berkuasa monetari menyertai mesyuarat, yang dipengerusikan oleh Encik Graeme Wheeler, Gabenor Reserve Bank of New Zealand (RBNZ).

Para Gabenor telah bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi dunia dan juga dasar kebelakangan ini. Perbincangan tertumpu pada kemungkinan kesan faktor global terhadap dasar monetari EMEAP, selain perkembangan dari segi penawaran di negara anggota EMEAP baru-baru ini. Gabenor-gabenor turut mengalu-alukan prospek pertumbuhan serantau yang bertambah baik dan mengambil maklum bahawa pasaran kewangan EMEAP pada amnya berfungsi dengan baik pada tahun lalu. Mereka menegaskan bahawa komunikasi yang jelas mengenai kedudukan dasar di rantau EMEAP dan negara-negara lain di dunia adalah amat penting. Para Gabenor terus komited untuk menggunakan mesyuarat EMEAP untuk berkongsi maklumat dan menggalakkan kerjasama.

Para Gabenor mengambil maklum akan laporan Mesyuarat Timbalan-timbalan EMEAP Ke-52 (52nd EMEAP Deputies’ Meeting) yang diadakan di Auckland pada bulan April 2017 dan berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai dalam rangkaian projek EMEAP yang memberikan tumpuan pada penyeliaan perbankan, pasaran kewangan, sistem pembayaran dan penyelesaian serta teknologi maklumat.

Gabenor-Gabenor juga berbincang mengenai laporan perkembangan terkini Jawatankuasa Kestabilan Monetari dan Kewangan (Monetary and Financial Stability Committee, MFSC) berhubung dengan pengawasan, aktiviti penyelidikan dan rangka kerja pengurusan krisis serantau. Mereka berbincang mengenai manfaat dan cabaran yang mungkin timbul daripada teknologi kewangan baharu dan bersetuju bahawa Jawatankuasa dan Kumpulan Kerja EMEAP perlu memantau rapi perkembangannya.

Para Gabenor menerima tawaran Bangko Sentral ng Pilipinas untuk menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Gabenor-Gabenor ke-23 pada tahun 2018.

Bank Negara Malaysia
16 May 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.