Cetak       Kongsi


Penggabungan MyClear dan MEPS – Memperkukuh Infrastruktur Pembayaran Malaysia untuk Mempercepatkan Perpindahan kepada E-Pembayaran

No Ruj : 05/17/12 22 May 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penggabungan MyClear[1] dan MEPS[2] untuk membentuk Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet. PayNet akan menjadi pengendali nasional bagi infrastruktur bayaran yang dikongsi bersama (shared payments infrastructures). Pembentukan PayNet adalah sejajar dengan usaha Bank Negara Malaysia untuk memastikan infrastruktur pembayaran Malaysia berdaya saing, cekap, terbuka dan inovatif untuk mempercepat perpindahan negara kepada pembayaran secara elektronik (e-pembayaran), serta memenuhi keperluan ekonomi sekarang dan masa depan. PayNet akan dimiliki secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan industri kewangan.

"Entiti gabungan ini akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan potensi pertumbuhan Malaysia melalui penyediaan sistem pembayaran bertaraf dunia yang berdaya saing, cekap, terbuka dan inovatif. Sebagai utiliti yang dikongsi bersama, PayNet akan meletakkan kepentingan awam sebagai objektif utama dalam menyokong dan membangunkan sistem pembayaran Malaysia yang selamat, cekap dan utuh", kata Gabenor, Muhammad bin Ibrahim.

Penggabungan ini akan meningkatkan usaha sama dan kecekapan melalui penyelarasan strategi untuk pembangunan infrastruktur bayaran yang dikongsi bersama di bawah satu entiti yang akan meningkatkan keberkesanan kos, keterangkuman dan nilai tambah perkhidmatan e-pembayaran di Malaysia. Untuk memudahkan pengembangan rangkaian dan memacu inovasi dalam perkhidmatan pembayaran, PayNet akan menawarkan akses terbuka dan adil kepada bank dan entiti bukan bank yang layak untuk menggunakan infrastruktur pembayarannya. Dalam tempoh terdekat, projek-projek infrastruktur yang akan diterajui oleh PayNet termasuklah penubuhan pangkalan data negara untuk memudahkan pembayaran dengan menggunakan nombor telefon bimbit atau nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Negara (KP) penerima. PayNet juga akan menggalakkan penerimaan kad MyDebit sebagai alternatif berkos rendah kepada peniaga dalam usaha mengurangkan penggunaan wang tunai dalam urus niaga runcit.

"Penggabungan ini berlaku pada masa yang sesuai dan penting buat negara untuk mengelakkan pertindihan pelaburan dan membantu pelabur membuat keputusan pelaburan yang tepat, khususnya dalam menyediakan sektor kewangan domestik untuk persekitaran yang mendatang. Dalam hal ini, kita menjangkakan PayNet akan memacu inovasi dan perkembangan teknologi infrastruktur bayaran untuk manfaat peserta sektor kewangan, di samping mengekalkan kestabilan dan keselamatan sektor kewangan", tambah Datuk Abdul Farid Alias, Pengerusi MEPS.

PayNet akan mengendalikan sistem pembayaran utama negara yang sebelum ini dikendalikan oleh MyClear dan MEPS. Ini termasuklah Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) yang memudahkan pemindahan dan penyelesaian pembayaran bernilai tinggi antara bank dan urus niaga sekuriti, serta pelbagai sistem pembayaran dan penjelasan runcit lain seperti rangkaian ATM yang dikongsi bersama (Shared ATM Network, SAN), GIRO Antara Bank (Interbank GIRO, IBG), Pindahan Segera (Instant Transfer), Platform Pembayaran Bil Secara Elektronik Kebangsaan (National Electronic Bill Payment Scheme, JomPAY), Bursa Pemprosesan Kewangan (Financial Process Exchange, FPX), Debit Terus (Direct Debit), rangkaian kad debit domestik (MyDebit) dan sistem penjelasan cek



[1]MyClear
Ditubuhkan pada tahun 2008, Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear) adalah anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia. MyClear membina dan mengendalikan sistem pembayaran dan infrastruktur pasaran kewangan bagi membolehkan sistem kewangan dan ekonomi Malaysia berfungsi dan berkembang dengan selamat, cekap dan dipercayai.

[2]MEPS
Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) merupakan pengendali sistem pembayaran antara bank di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1996. Sebagai konsortium pembayaran yang dimiliki oleh 11 bank domestik, MEPS menyediakan perkhidmatan Rangkaian ATM yang dikongsi bersama (Shared ATM Network) dan perkhidmatan pindahan dana secara masa nyata (Instant Transfer).

Bank Negara Malaysia
22 May 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.