Print       Share


Kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Maklumat Terkini Pasaran Kewangan

Ref No : 06/17/03 07 Jun 2017 Embargo : For immediate release    

Aktiviti pasaran meningkat berikutan pengenalan pakej kedua langkah-langkah pembangunan pasaran kewangan. Minat sejagat yang lebih mendalam terhadap aset kewangan pasaran sedang pesat membangun juga menyebabkan peningkatan pelaburan bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik, dengan jumlah lebih kecil ke dalam pasaran ekuiti.

Ringgit menambah nilai sebanyak 1.4% pada bulan Mei dan diurusniagakan dalam julat 4.26 hingga 4.35 berbanding USD untuk ditutup pada 4.28 pada akhir bulan itu. Pasaran pertukaran asing dalam negeri mengekalkan jumlah purata harian sebanyak USD9.4 bilion, dengan jumlah urus niaga pasangan mata wang Ringgit Malaysia (MYR) mencatat purata harian USD5.2 bilion bagi bulan Mei (April: masing-masing USD9.9 bilion dan USD6.2 bilion). Daripada jumlah ini, purata transaksi spot dan hadapan ialah USD2.4 bilion sehari. Kadar pertukaran kekal stabil dengan turun naik tersirat 1 bulan USD/MYR pada kadar purata 5.0% tahun ini. Pergerakan antara hari (intraday) mencatat purata harian 89 mata, manakala purata spread bida-tawar adalah pada 26.4 mata asas sejak akhir bulan April 2017.

Pasaran bon Malaysia terus menarik minat pelabur, dengan tiga lelongan utama terakhir bon kerajaan melibatkan penyertaan pelbagai pelabur. Lelongan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) baru-baru ini mencatat nisbah bida kepada perlindungan yang kukuh, iaitu 3.3 kali. Jumlah dagangan harian purata pasaran bon sekunder ialah RM3.6 bilion pada bulan Mei (April: RM3.7 bilion). Jumlah jualan singkat MGS pula naik sedikit kepada RM1.1 bilion pada bulan Mei daripada purata bulanan RM872 juta sebelum pengumuman pakej kedua. Pemegangan bon kerajaan oleh bukan pemastautin meningkat sebanyak RM9.0 bilion, dengan lebih 70% daripadanya merupakan kertas jangka pertengahan hingga panjang, mencakupi 26.3% daripada jumlah terkumpul pada akhir bulan Mei 2017. Pada bulan April dan Mei, bukan pemastautin mencatat aliran masuk sebanyak RM15.0 bilion ke dalam pasaran bon kerajaan. Ini berbeza dengan aliran keluar yang berlaku antara bulan Januari hingga Mac, dengan jumlah penjualan bon kerajaan sebanyak RM34.3 bilion. Daripada jumlah tersebut, 95% daripadanya ialah kertas jangka pendek.

Bagi sektor perdagangan, data terus menunjukkan aliran pertukaran asing yang lebih seimbang antara eksport dengan import. Pertukaran asing bersih bulan Mei adalah sebanyak USD1.1 bilion. Setakat ini, transaksi pertukaran asing yang berkaitan dengan eksport dan import barangan mencatat urus niaga sebanyak USD135 bilion.

Berikutan fleksibiliti tambahan yang diberikan kepada pengurus dana baru-baru ini, bilangan pengurus dana berdaftar bertambah sebanyak 10 orang, seterusnya menjadikan jumlahnya kepada 44 orang, dengan nilai aset di bawah pengurusan (assets under management, AUM) yang layak sebanyak RM102.9 bilion di bawah rangka kerja perlindungan nilai dinamik. Pada tahun 2017, pertambahan enam buah bank bukan pemastatutin telah memberikan perakuan bahawa mereka tidak akan menawarkan atau menjalankan urus niaga hadapan tanpa serahan (non-deliverable forward, NDF) dalam ringgit di pasaran luar pesisir. Sebanyak 22 institusi telah pun memberikan perakuan yang serupa sejak bulan November 2016. Bank akan terus memastikan pematuhan yang lebih luas terhadap peraturan non-facilitation oleh peserta pasaran kewangan luar pesisir.

Bank Negara Malaysia dan FMC akan terus mengadakan perbincangan dan interaksi dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan inisiatif yang diperkenalkan dilaksanakan dengan jayanya, dan pada masa sama tumpuan diberikan pada usaha mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur bagi memudahkan sektor perniagaan dan bermanfaat kepada ekonomi.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan
7 Jun 2017

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan

Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa. Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_fxmm_mo&pg=en_fxmm_fmc&ac=451&lang=en

Bank Negara Malaysia
07 Jun 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.