Cetak       Kongsi


Perkembangan Terkini Inisiatif PIN & PAY: Ready, Set and PIN

No Ruj : 06/17/05 23 Jun 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia sebelum ini, mulai 1 Julai 2017, semua transaksi kad pembayaran dalam negara perlu disahkan dengan menggunakan PIN. Pengesahan melalui tandatangan tidak akan lagi diterima mulai tarikh tersebut.

Setakat ini, hampir 23 juta kad pembayaran di Malaysia telah digantikan dengan kad berasaskan PIN. Semua terminal kad pembayaran di Malaysia, termasuk Terminal Pembayaran Luar di stesen-stesen minyak juga telah dinaik taraf untuk menerima PIN.

Majoriti (94%) pemegang kad sudah menggunakan PIN. Hanya 6% daripada transaksi kad (yang berasaskan PIN) masih disahkan melalui tandatangan, sepertimana yang dilaporkan setakat 31 Mei 2017.

Memandangkan pengesahan tandatangan tidak lagi diterima mulai 1 Julai 2017, pemegang kad yang masih belum menukarkan kad kepada kad yang berasaskan PIN harus berbuat demikian dengan segera di bank atau penyedia perkhidmatan pembayaran bukan bank masing-masing.

Bagi sebarang pertanyaan atau bantuan untuk menjalankan transaksi pembayaran menggunakan PIN, orang ramai boleh menghubungi bank atau penyedia perkhidmatan pembayaran bukan bank masing-masing di talian bantuan khidmat pelanggan yang disenaraikan di sini. Maklumat mengenai talian bantuan khidmat pelanggan juga boleh didapati di www.bnm.gov.my/pinpay dan http://www.abm.org.my/index.cfm?sc=pinandpaynumber.

Bank Negara Malaysia
23 Jun 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.