Cetak       Kongsi


Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 07/17/04 13 Jul 2017 Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Khamis 13 Julai 2017

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Ekonomi global semakin kukuh dengan pertumbuhan yang lebih sekata di kebanyakan negara. Kegiatan perindustrian dan perdagangan global juga melebihi daripada jangkaan awal. Prospek pertumbuhan di negara-negara maju dijangka lebih baik berikutan pelaburan yang meningkat secara lebih menyeluruh dan pertumbuhan penggunaan yang terus stabil. Pertumbuhan di rantau Asia bakal dipacu oleh kegiatan dalam negeri dan permintaan eksport yang lebih kukuh. Namun, prospek pertumbuhan global masih berhadapan dengan risiko. Antaranya ialah ketidakpastian mengenai keadaan politik semasa dan kesamaran tentang dasar di negara ekonomi utama, perkembangan geopolitik dan pasaran kewangan serta turun naik harga komoditi.

Prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama 2017 lebih baik daripada jangkaan. Pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah hasil daripada permintaan dalam negeri yang lebih kukuh dan dorongan tambahan daripada sektor eksport. Prospek pertumbuhan global yang lebih baik juga akan meningkatkan prestasi eksport selain memberikan kesan yang positif kepada ekonomi negara. Penggunaan swasta meningkat berikutan peningkatan upah dan guna tenaga. Prospek pelaburan pula dijangka lebih positif hasil pelaksanaan projek-projek infrastruktur baharu dan yang sedang giat dijalankan, serta penambahan kapasiti pengeluaran dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi negara dijangka lebih tinggi pada tahun 2017.

Kadar inflasi secara keseluruhannya menurun kepada 3.9% pada bulan Mei disebabkan terutamanya oleh harga bahan api dalam negeri yang lebih rendah pada bulan itu. Kadar inflasi dijangka terus mengalami penurunan pada separuh kedua 2017. Keadaan ini mencerminkan terutamanya kesan faktor kos global yang semakin berkurang. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka terus terkawal meskipun berhadapan dengan permintaan dalam negeri yang lebih kukuh.

Pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan. Ringgit terus stabil berikutan permintaan dan penawaran mata wang asing yang lebih seimbang hasil daripada pelaksanaan dua langkah pembangunan pasaran kewangan. Mudah tunai sistem perbankan terus mencukupi. Institusi kewangan meneruskan operasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta meningkat selaras dengan kadar perkembangan aktiviti ekonomi.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari adalah akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi. MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Bank Negara Malaysia
13 Jul 2017

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.